Bayaran bagi tempat letak kereta tepi jalan mungkin menjadi automatik pada masa hadapan, jika percubaan yang dirancang untuk memasang alat pengesan berjalan lancar.
Alat pengesan yang dibenam ke dalam tanah ini akan dapat mengesan apabila kereta memandu masuk atau meninggalkan tempat letak kereta di tepi jalan, dan menyampaikan maklumat kepada peranti dalam kenderaan, atau on-board unit (OBU), melalui teknologi Bluetooth.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) melancarkan tender pada 6 Mei untuk cadangan mengkaji keberkesanan sistem sedemikian.
Agensi itu memberitahu The Straits Times (ST) pada 29 Mei bahawa kajian itu bertujuan menguji kebolehlaksanaan penggunaan cara komunikasi melalui Bluetooth untuk memudahkan pembayaran secara automatik tempat letak kereta di tepi jalan bagi pemandu.
Alat pengesan ini berbentuk rata supaya kenderaan boleh dipandu di atasnya.
Pada masa ini, pemandu membayar untuk tempat letak kereta di tepi jalan menggunakan kertas kupon letak kereta atau melalui aplikasi Parking.sg.
Kajian URA ini berasingan daripada rancangan lain oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk turut menggunakan OBU bagi pembayaran tempat letak kereta di tepi jalan.
Ciri ini, yang ingin dilancar LTA apabila kebanyakan kenderaan sudah memasang OBU, memerlukan pemandu menggunakan paparan skrin sentuh OBU untuk memulakan sesi meletak kereta.
Sesi meletak kereta tamat secara automatik apabila kenderaan dipandu keluar dari tempat letak kereta.
LTA berkata bahawa ia akan “bekerjasama dengan URA untuk menyemak hasil kajian ini dalam menilai sebarang rancangan penggunaan masa hadapan”.
URA menguruskan kira-kira 13,000 tempat letak kereta di tepi jalan di seluruh negara.
Untuk percubaan ini, URA bercadang memilih kontraktor dan menjalankan ujian kebolehpercayaan di Tempat Letak Kereta 5 di Pantai Changi dari Oktober 2025 hingga Julai 2026.
Ia juga berhasrat menjalankan projek perintis operasi di tempat letak kereta di kawasan Chinatown, Keong Saik dan Bukit Timah dari Ogos 2026 hingga Julai 2027.
Menurut dokumen tender yang diterbitkan di portal perolehan kerajaan GeBiz, ujian kebolehpercayaan selama 10 bulan itu perlu dijalankan ke atas empat jenis kenderaan: sedan, kenderaan barangan ringan seperti lori, kenderaan berat serta bas dengan 23 tempat duduk atau lebih.
URA tidak mengulas mengapa ia mengecualikan motosikal daripada percubaan itu.
Untuk percubaan operasi selama 12 bulan itu, pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiga lokasi tempat letak kereta dipilih kerana pemasangan alat pengesan untuk percubaan dibolehkan di tempat tersebut, sementara ia kekal mudah diakses oleh pemandu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg