Projek perintis agih 500 penjejak lokasi bagi golongan demensia, keperluan khas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek perintis agih 500 penjejak lokasi bagi golongan demensia, keperluan khas

Mar 9, 2026 | 8:45 PM

Projek perintis agih 500 penjejak lokasi bagi golongan demensia, keperluan khas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penjejak lokasi, demensia, keperluan khas
Usaha murni mengagih penjejak lokasi bagi penjaga golongan demensia dan berkeperluan khas digerakkan (dari kiri) peguam veteran, Cik Peggy Yee; dengan kerjasama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Actxa, Encik Marcus Soo; CEO Activate Interactive Encik Joel Chin; dan CEO CaringSG Encik Edwin Tan. - Foto ST

Satu daya usaha baharu dalam kalangan anggota masyarakat yang dibangunkan dari peringkat akar umbi akan mengagihkan penjejak lokasi percuma kepada 500 penjaga bagi memantau orang tersayang yang mempunyai keperluan khas atau demensia.

Penjaga boleh memohon penjejak lokasi dari 9 Mac hingga Disember 2026 di bawah program REACT CareTag, hasil kerjasama syarikat teknologi tempatan, Activate Interactive, dan peguam veteran, Cik Peggy Yee.

Penerima mesti dirujuk oleh badan kebajikan berdaftar, kelab masyarakat (CC), pegawai perubatan, pekerja sosial berdaftar, atau seorang Anggota Parlimen (AP).

Usaha itu dimulakan Cik Yee, yang telah memperjuangkan hak individu dengan ketidakupayaan tersembunyi seperti gangguan spektrum autisme (ASD) dan penyakit mental selama lebih dua dekad.

Beliau terdorong bertindak mengusahakan inisiatif itu selepas kes menyayat hati melibatkan Muhammad Hairil Effendi, 11 tahun, seorang kanak-kanak berkeperluan khas yang dilaporkan hilang pada 29 Ogos 2025 sebelum ditemui meninggal dunia di laut berhampiran Pantai East Coast.

“Apabila saya membaca berita tentang Hairil, saya amat sedih terhadap keluarga yang kehilangan seorang anak,” katanya kepada The Straits Times (ST).

“Apakah yang boleh dilakukan supaya perkara ini tidak berulang?” jelasnya.

Cik Yee yang mengendalikan firma guamannya, PY Legal, turut menjalankan kerja pro bono (khidmat percuma atau berbayaran rendah) dalam kes jenayah dan sivil bagi individu dengan ketidakupayaan tersembunyi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Activate Interactive, Encik Joel Chin, berkata syarikatnya menyertai usaha itu untuk menyokong golongan yang cabarannya sering tidak kelihatan.

“Walaupun penjejak ini ringkas, ia memberi ketenangan fikiran, memelihara maruah dan menambah keselamatan,” ujarnya.

Penerima atau penjaga boleh menghantar e-mel permohonan bersama surat rujukan kepada csr@activate.sg untuk menempah waktu pengambilan.

Apabila mengambil penjejak di pejabat Activate di SingPost Centre, penjaga akan ditunjukkan cara menggunakannya.

Penjejak itu serasi dengan sistem operasi Android dan iOS.

Penjejak boleh dipadankan dengan telefon pintar untuk memantau lokasi orang tersayang.

Jenama pencegahan kesihatan Actxa akan menyokong program ini dengan menaja satu penjejak bagi setiap cincin pintar penjejak kesihatan yang dijual antara 16 Mac dengan 15 Jun, menyumbang kepada 500 penjejak yang akan diagihkan.

Selebihnya akan ditaja oleh Activate.

Encik Chin berkata kededua syarikat bakal membangunkan wadah tindak balas masyarakat bagi membantu penjaga atau orang awam bertindak pantas jika individu berisiko dilaporkan hilang, seperti aplikasi myResponder oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

CEO CaringSG, Encik Edwin Tan, berkata beliau akan menggalakkan ahlinya memohon.

Badan tidak mengaut untung itu menyokong kira-kira 5,000 penjaga kepada individu berkeperluan khas.

Menurutnya, penjejak membantu mengurangkan kebimbangan penjaga dan keluarga apabila orang tersayang cenderung merayau atau tersesat.

Encik Yas Yasni, 25 tahun, menjejaki neneknya, 72 tahun, melalui aplikasi Life360 selepas beliau disahkan menghidap demensia ringan pada 2025.

“Ia memberi saya ketenangan kerana saya tahu di mana dia berada,” katanya, sambil menambah penjejakan itu membolehkannya bertindak pantas jika sesuatu tidak kena.

Peranti penjejakan peribadi kini layak menerima subsidi di bawah Dana Teknologi Bantuan (ATF) yang ditadbir SG Enable, tertakluk kepada penilaian karyawan penjagaan kesihatan.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen pada September kepada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja Encik Kenneth Tiong, belum ada permohonan kepada ATF bagi peranti sedemikian.

Sejak 2014, jumlah penerima ATF meningkat lebih lima kali ganda.

Had kelayakan turut dinaikkan pada Januari kepada pendapatan per kapita sehingga $4,800 daripada $2,600 sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg