Sedekad selepas diperkenalkan, Projek Wolbachia, satu inisiatif untuk mengawal denggi dengan melepaskan nyamuk yang dibiakkan di makmal, kini meliputi lebih separuh daripada semua isi rumah di Singapura.

Selepas pelancaran di Ang Mo Kio pada 6 Oktober, Projek Wolbachia kini meliputi lebih 840,000 isi rumah, atau 53 peratus daripada semua isi rumah di sini, merangkumi kebanyakan kawasan yang berisiko mengalami wabak denggi besar.

Perkara ini diumumkan pada 31 Oktober oleh Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, pada satu acara memperingati ulang tahun ke-10 inisiatif itu, yang diadakan di Our Tampines Hub (OTH).

Bermula pada 2016, Projek Wolbachia bertujuan mengawal populasi nyamuk Aedes di sini menerusi pelepasan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia.

Nyamuk betina yang mengawan dengan nyamuk jantan itu menghasilkan telur yang tidak menetas, sekali gus mengurangkan populasi nyamuk dari semasa ke semasa.

Pada Februari, kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine mendapati populasi nyamuk Aedes aegypti berkurangan 80 hingga 90 peratus di kawasan yang dilindungi Projek Wolbachia, manakala risiko denggi bagi penduduk di kawasan tersebut turun lebih 70 peratus.

Kes denggi di sini telah jatuh seiring perkembangan projek itu, dengan bilangan kes yang dilaporkan mencecah paras terendah tujuh tahun sebanyak 4,036 pada 2025, penurunan 70 peratus daripada 13,651 kes yang direkodkan pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) di Braddell Heights, Encik Lee Tee Loon, menyatakan terdapat sedikit kebimbangan dalam kalangan penduduk ketika inisiatif itu mula dilancarkan.

Braddell heights merupakan salah satu tapak pertama Projek Wolbachia pada 2016.

“Selepas beberapa lama, mereka memahami bahawa ia sesuatu yang baik untuk masyarakat, dari segi menangani isu demam denggi,” katanya.

Berucap pada acara 31 Oktober itu, Dr Janil mengingatkan bahawa Projek Wolbachia bukanlah penyelesaian ajaib.

“Pencegahan denggi kekal sebagai tanggungjawab bersama. Kita perlu terus memastikan rumah dan kejiranan kita bebas daripada pembiakan nyamuk, supaya kita dapat mengekalkan kemajuan yang telah dicapai,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun inisiatif itu menyasarkan spesies Aedes aegypti secara khusus, terdapat pelbagai spesies nyamuk di Singapura, dan sesetengahnya juga boleh menyebarkan penyakit seperti denggi, Zika dan chikungunya. 

“Dengan memastikan rumah dan persekitaran kita bebas daripada air bertakung, kita dapat mencegah nyamuk membiak dan melindungi keluarga serta jiran kita,” katanya.

Apabila ditanya mengenai rancangan untuk mengembangkan Projek Wolbachia, pengarah kumpulan Kumpulan Institut Kesihatan Alam Sekitar (EHI) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Cik Ng Lee Ching, berkata NEA akan menilai keadaan semasa sebelum membuat keputusan lanjut.

Acara itu turut menyaksikan NEA melancarkan sebuah buku kanak-kanak baharu yang menampilkan maskot Projek Wolbachia, Wozzie.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti