Sepanjang hidupnya, Cik Nurain Syarafana Mohd Fauzi, 24 tahun, sentiasa menimba kekuatan daripada ibunya, Cik Saryati Sokiman, 45 tahun.
Tanpa adik-beradik dan dibesarkan oleh ibunya yang berjuang sendirian, Cik Nurain membesar dalam sekitaran penuh kasih, walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Nilai-nilai itu membesarkan Cik Nurain, yang kini merupakan mahasiswi tahun kedua dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Lantas, Cik Nurain telah menanam hasrat untuk meringankan beban kewangan ibunya, insan yang telah banyak berkorban demi masa depannya.
“Mak saya seorang ibu yang tegas.
“Setiap teguran daripadanya adalah kerana beliau ingin melihat saya berjaya dan menjadi insan berguna,” kata Cik Nurain.
Berkat usahanya, beliau merupakan salah seorang daripada 160 penerima Anugerah Pendidikan PropNex yang dilancarkan secara rasmi pada majlis ulang tahun ke-25 PropNex di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 15 Julai.
Presiden Tharman Shanmugaratnam turut hadir selaku tetamu terhormat semasa acara itu.
Dalam ucapannya, Pengerusi Eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor, berkata iltizamnya dalam bidang kebajikan dipengaruhi perjalanan hidup bapanya yang bekerja sebagai penghantar suratkhabar demi menyediakan kehidupan lebih baik untuk beliau dan lima adik-beradiknya.
“Bapa saya berasal daripada latar belakang yang serba kekurangan dan tidak pernah menerima pendidikan formal.
“Beliau seorang yang cekal dan gigih kerana datang ke Singapura dengan harapan untuk mengubah nasib keluarganya.
“Semangat dan nilai yang dibawanya itulah yang saya ingin warisi dan terapkan dalam usaha saya berbakti kepada masyarakat,” ujar Encik Ismail, yang baru-baru ini berundur daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex.
Anugerah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan PropNex yang turut dilancarkan semasa acara tersebut.
Dengan dana permulaan sebanyak $10 juta, yayasan itu berikrar untuk meningkatkan jumlah dana kepada $25 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Justeru, pulangan daripada pelaburan yayasan itu akan disalurkan bagi memperkukuh daya usaha pendidikan, membiayai pelbagai usaha kebajikan lain, serta menyokong pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Ini mencerminkan komitmen jangka panjang PropNex untuk terus menyumbang kepada masyarakat secara berterusan dan bermakna, kata syarikat itu dalam kenyataan pada hari yang sama.
Dalam pada itu, acara itu turut menyaksikan sumbangan sebanyak $1.5 juta kepada Dana Masyarakat (ComChest), yang akan diberi setiap tahun dari 2025 hingga 2027.
Namun, sempena ulang tahun ke-60 Singapura, PropNex akan meningkatkan jumlah itu hingga $6 juta, bagi 2025 sahaja.
Ini merupakan sumbangan terbesar dalam sejarah syarikat berkenaan kepada badan kebajikan tersebut, kata Encik Ismail.
Tambahnya, dana tersebut dikumpulkan melalui sumbangan sebahagian komisen jualan oleh ejen PropNex, selain sumbangan kakitangan dan pihak pengurusan.
Sumbangan ini dikatakan adalah tanda penghargaan kepada masyarakat yang telah menyokong pertumbuhan PropNex sepanjang perjalanan syarikat berkenaan.
Syarikat hartanah itu mula menyalurkan sumbangan kepada Dana Masyarakat, iaitu satu cabang kebajikan di bawah Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan sejak 2013, dan telah menyumbang lebih $10 juta dalam tempoh 12 tahun lalu.
Dana yang dikumpulkan ini menyokong pelbagai golongan memerlukan termasuk kanak-kanak berkeperluan khas, mereka yang berisiko tinggi, serta keluarga berpendapatan rendah.
Sempena ulang tahun PropNex, Encik Ismail turut melancarkan buku pembangunan diri bertajuk “I Am Not Good Enough”.
Buku tersebut boleh didapati di kedai buku Kinokuniya, Popular dan WH Smith.
Hasil jualan buku tersebut akan disumbangkan kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (ST), yang memberikan bantuan wang saku kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Sempena ulang tahun kami yang ke-25, kami ingin menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah banyak menyokong perjalanan kami selama ini,” kata Encik Ismail.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg