Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Proses kelulusan lebih ketat diusul bagi urus niaga M&A sektor media S’pura

Jan 4, 2026 | 7:13 PM
IMDA, syarikat, media
IMDA juga mencadangkan kelonggaran bagi urus niaga yang tidak mengubah kuasa pengundian pada pemegang saham. - Foto BT

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mengeluarkan kertas rundingan awam yang mengusulkan perubahan kepada Akta Penguasa Pembangunan Media Infokomunikasi 2016.

Perubahan tersebut akan “menyelaraskan dan memperhalusi lagi” cara menangani persaingan dalam sektor telekomunikasi dan media, di samping memperkukuh rangka kerja persaingan media, menurut kertas rundingan itu.

Yang paling ketara, rang ini bertujuan meluaskan liputan bagi kawalan untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat.

Pada masa ini, hanya “individu yang dikawal selia” – ditakrifkan sebagai penerbit akhbar yang dikawal selia oleh IMDA atau pemegang lesen penyiaran – atau penyedia perkhidmatan media sokongan perlu mendapatkan kelulusan IMDA sebelum memperoleh pegangan sebanyak 30 peratus dalam sesebuah entiti media.

Pindaan yang dicadangkan bertujuan meluaskan liputan ini, dengan menyatakan bahawa mana-mana individu, sama ada pemegang lesen atau tidak, yang memperoleh kepentingan pemilikan sebanyak 30 peratus atau lebih, mesti mendapatkan kelulusan pengawal selia.

Piawaian yang sama sudah pun terpakai dalam industri telekomunikasi, lapor The Business Times (BT).

Para pengawal selia juga mencadangkan pendekatan yang lebih berperingkat terhadap tingkah laku anti-persaingan.

Di bawah Akta itu pada masa ini, penalti bagi tingkah laku anti-persaingan adalah bersifat mutlak – sebarang urus niaga yang dianggap sedemikian akan dibatalkan.

Di bawah rang undang-undang diusulkan, pengawal selia memberikan kelonggaran, di mana perjanjian anti-persaingan hanya akan terbatal “setakat mana” berlakunya pelanggaran tersebut.

Dalam langkah berasingan untuk memudahkan urusan syarikat, IMDA mencadangkan kelonggaran bagi urus niaga yang tidak mengubah kuasa pengundian yang dimiliki pemegang saham.

Pada masa ini, kelulusan oleh pihak berkuasa diperlukan bagi urus niaga yang memenuhi had tertentu dari segi perubahan kuasa mengundi, tanpa mengira sama ada ia bersifat pro forma.

Bagi menyelaraskan dengan rejim telekomunikasi, rang tersebut mencadangkan agar syarikat tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan bertulis IMDA bagi urus niaga pro forma. Sebaliknya, syarikat hanya perlu memaklumkan pengawal selia.

Dalam pada itu, rang undang-undang berkenaan bertujuan memindahkan kuasa untuk mengarahkan pemisahan struktur kepada individu yang dikawal selia daripada IMDA kepada menteri.

Ini bermakna rang tersebut akan memberi kuasa kepada Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat – jawatan yang kini dipegang oleh Cik Josephine Teo – untuk mengeluarkan perintah pemisahan dan menggantikan IMDA.

Perintah pemisahan ini boleh memaksa pemain media dominan menjual atau melucutkan hak aset atau memisahkan unit perniagaan jika didapati menyukarkan pesaing lain untuk memasuki pasaran media.

Rang undang-undang tersebut juga bertujuan merombak proses penyelesaian pertikaian.

Pada masa ini, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan IMDA hanya boleh merayu kepada menteri, dan tidak boleh memohon IMDA untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

Perubahan itu mungkin membolehkan pihak berkuasa mempertimbangkan semula keputusan dan arahannya sendiri.

Namun, rang undang-undang tersebut menetapkan pihak terjejas itu tidak boleh pada satu masa mengemukakan rayuan kepada menteri.

Rundingan awam akan ditutup pada 21 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg