Pemasangan pelampung pembendung minyak dan pembersihan laut yang dilakukan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) bersama-sama syarikat kontraktor memberi kesan positif meskipun tidak dapat membendung keseluruhan limpahannya ke pantai Singapura.
Ia bagaimanapun membantu dalam memecahkan gumpalan minyak yang besar kepada lebih kecil melalui penyemburan cepat penyerakan lalu memudahkan proses pembersihan dan mengurangkan jumlah minyak yang menjejaki pantai negara ini, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Bercakap pada Sidang Media bersama Menteri yang juga dihadiri Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 24 Jun, Encik Chee berkata proses menangani insiden kebocoran minyak kapal bukan hanya bergantung kepada kepantasan meletakkan pelampung pembendung minyak, tetapi turut mengambil kira beberapa faktor dan proses.
Encik Chee menyangkal pendapat di mana pelampung pembendung ini dapat menghalang minyak yang tertumpah itu daripada merebak dan menjangkau ke darat jika diletakkan dengan lebih awal.
“Respons pertama yang harus kami lakukan ialah untuk memastikan tiada minyak yang masih tumpah daripada kapal tersebut. Jika masih terdapat limpahan minyak, ia akan membuatkan keadaan lebih buruk. Jadi, kami harus pastikan kapal itu selamat dan tiada risiko akan tenggelam, anak kapal selamat dan kapal tidak lagi kebocoran minyak,” ujar Encik Chee.
Antara perkara yang Encik Chee kongsikan pada sidang media itu ialah tujuan pelampung pembendung minyak dan proses dalam menangani kejadian sebegini.
Beliau mendedahkan langkah meletakkan pelampung pembendung di sekeliling kapal yang rosak mengambil masa selama beberapa jam. Ini termasuk waktu ketibaan kapal di tempat kejadian dan juga tempoh pelampung pembendung itu dapat dipasang sepenuhnya.
Encik Chee berkata:
“Penting untuk kita tahu pelampung pembendung itu bukan bertujuan ‘memagar’ minyak yang tumpah. Hal ini mustahil, bukan sahaja di Singapura malah juga di seluruh dunia.
“Ketika pelampung pembendung itu tiba, sekurang-kurangnya ia akan mengambil masa beberapa jam untuk diletakkan walaupun anda melakukannya dengan pantas sekali. Ia satu operasi berskala besar yang mengambil masa,” tambahnya.
Encik Chee berkata tujuan meletakkan pelampung pembendung di sekeliling kapal ialah sebagai langkah berjaga-jaga demi mengelakkan limpahan lebih banyak selain memantau limpahan minyak yang ditolak jauh ke luar kawasan kejadian.
Menggambarkan dua keadaan serupa, Encik Chee menarik perhatian akan perbandingan antara limpahan minyak di laut dan limpahan kopi di lantai.
“Apabila kopi tertumpah, ia akan kekal di lantai sehingga kita membersihkannya, namun jumlah besar minyak yang tumpah di lautan tidak akan kekal di satu tempat dan akan dibawa arus dan angin ke tempat lain dengan cepat.”
“Minyak akan tetap bergerak namun kita mampu lihat laluan pergerakan minyak tersebut dan tanganinya di lokasi yang lain sama ada di laut atau darat,” tambah Encik Chee.
Menurut Encik Chee, cuaca dan waktu pelampung pembendung itu dipasang juga memainkan peranan penting dalam menetapkan kepantasan proses pemasangan pelampung pembendung itu.
Menurut pengarah urusan T&T Salvage Asia, Kapten Anuj Sahai, yang ditukil akhbar The Straits Times (ST) baru-baru ini, proses meletakkan pelampung pembendungan dilakukan pada malam 14 Jun dan mengambil masa sehingga 10 jam dari permulaan masa kejadian sehingga selesai meletakkan barisan pertama pembendung itu – disebabkan cuaca pada malam itu yang kurang baik.
Sebelum meletakkan pelampung pembendung tersebut, mereka harus menyembur semburan kepada limpahan minyak bagi memecahkannya sebelum minyak menjadi keras dan menyukarkan lagi proses pemulihannya di darat dan laut.
MPA kemudian menghubungi syarikat kontraktor, dalam konteks ini T&T Salvage, untuk meletakkan pembendung minyak di samping menghubungi pelbagai agensi lain dan menggunakan dron untuk memantau pergerakan minyak.
Walaupun terdapat saranan untuk meletakkan pelampung pembendung ini serata tepian air dan pantai Singapura untuk membendung minyak dari menjejaki darat, ia tidak dapat dilaksanakan kerana ia memerlukan lebih 46 kilometer pelampung pembendung di sepanjang pantai selatan Pasir Panjang ke East Coast.
Ia juga boleh putus dan memerlukan penyelenggaraan berdasarkan cuaca dan ombak.
Maka itu, untuk menggunakan pelampung pembendung ini dengan lebih berkesan, MPA akan memantau pergerakan minyak itu sebelum meletakkan pembendung di tempat yang diperlukan.
MPA juga menggunakan kaedah seperti model ramalan laluan minyak berdasarkan ramalan arus dan data cuaca terkini serta mengawasinya dari imej satelit.
Mereka juga menggunakan mesin yang mengeluarkan minyak dari permukaan air untuk tambat situasi minyak ini.
“Segala data ini akan membantu untuk memantau pergerakan minyak dan bantu dalam usaha kita,” ujar Encik Chee.
Setakat ini, sebanyak 3,400 meter pelampung pembendung telah diletakkan.
“
“Respons pertama yang harus kami lakukan ialah untuk memastikan tiada minyak yang masih tumpah daripada kapal tersebut. Jika masih terdapat limpahan minyak, ia akan membuatkan keadaan lebih buruk. Jadi, kami harus pastikan kapal itu selamat dan tiada risiko akan tenggelam, anak kapal selamat dan kapal tidak lagi kebocoran minyak.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg