Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan tindakan lindung, pulih habitat pantai sedang dibangun

Jun 24, 2024 | 7:27 PM
Seekor burung raja udang disaluti minyak yang melimpah di Pulau Lazarus, meningkatkan lagi kebimbangan terhadap kesan tumpahan minyak itu ke atas hidupan liar dan biodiversiti di sini.
Seekor burung raja udang disaluti minyak yang melimpah di Pulau Lazarus, meningkatkan lagi kebimbangan terhadap kesan tumpahan minyak itu ke atas hidupan liar dan biodiversiti di sini. - Foto fail

Satu pelan tindakan untuk melindungi dan memulihkan habitat pantai daripada kesan tumpahan minyak bagi jangka masa enam bulan mendatang dan seterusnya, sedang dibangunkan antara agensi pemerintah dengan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Pengetahuan, kepakaran serta pengalaman pelbagai kumpulan masyarakat dan alam semula jadi akan dimanfaatkan, tambah Encik Lee sambil membincangkan tentang kesan insiden tumpahan minyak ke atas biodiversiti dan habitat di Singapura yang mungkin muncul kemudian.

Encik Lee berkata beliau dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, telah menghadiri sesi perundingan yang diadakan pada 21 Jun bersama ahli kumpulan masyarakat dan alam semula jadi serta institusi pengajian tinggi (IHL).

Dalam sesi itu, mereka bincangkan fasa seterusnya dalam menguruskan kesan tumpahan minyak ke atas habitat pantai dan hidupan marin Singapura.

Beberapa cadangan diusulkan, termasuk mengukuhkan proses menyelamat dan pemulihan hidupan liar; jalankan penilaian impak dan tinjauan habitat untuk memantau kesan ke atas hidupan liar dan biodiversiti; dan jalankan penyelidikan saintifik untuk memahami kesan jangka panjang tumpahan minyak terhadap biodiversiti.

“Bersama-sama, kami sedang bangunkan pelan tindakan untuk melindungi dan memulihkan habitat pantai dalam tempoh enam bulan akan datang dan seterusnya,” tegas Encik Lee.

Insiden tumpahan minyak pada 14 Jun telah mengakibatkan tumpahan minyak seberat 400 tan, yang menjejas beberapa pantai di Singapura dan Malaysia.

Susulan kejadian itu, beberapa agensi pemerintah - termasuk Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) - telah melaksanakan operasi pembersihan bersama.

NParks, yang menyelia usaha perlindungan dan pemulihan biodiversiti Singapura, merupakan sebuah agensi di bawah kementerian Encik Lee.

Memberi maklumat terkini tentang kesan tumpahan minyak ke atas kawasan alam semula jadi Singapura, Encik Lee berkata pihak berkuasa, melalui tindakan segera dan kerjasama erat dengan masyarakat alam semula jadi, berjaya mengurangkan kesan segera tumpahan minyak ke atas biodiversiti pantai, marin dan habitat negara ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa empat ekor burung raja udang yang diselaputi minyak, telah diselamatkan berikutan limpahan minyak, namun dua ekor telah mati selepas diselamatkan. 

Encik Lee, bagaimanapun, memberi amaran bahawa mungkin juga terdapat “kelewatan masa” antara kejadian tumpahan minyak dan kesannya terhadap biodiversiti dan habitat.

“Ia akan mengambil masa untuk kita menilai kesan alam sekitar jangka panjang. Beberapa kesan ke atas biodiversiti dan habitat juga mungkin akan muncul kemudian.

“Ini kerana kesan tumpahan minyak ke atas spesies sensitif seperti karang, rumput laut dan bintang laut, mungkin hanya dapat dilihat beberapa minggu atau bulan kemudian, seperti semasa tempoh bertelur,” tambahnya.

Memandangkan air pasang mungkin akan terus membawa lebih banyak sisa minyak, Encik Lee berkata pihak berkuasa akan terus kekal berwaspada, dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memantau dengan meneliti kesan tumpahan minyak ke atas biodiversiti tempatan serta habitat pantai dan marin. 

Ini akan melibatkan tinjauan antara pasang-surut dan subpasang-surut, dan tinjauan impak biodiversiti di tapak yang terjejas, jelas beliau. 

“Kami juga bersedia untuk menyelamatkan dan memulihkan hidupan liar di mana diperlukan,” ujar Encik Lee lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg