Penurunan permintaan pekerjaan dan kekosongan jawatan berkemungkinan menyumbang kepada penurunan angka pekerjaan bagi lulusan politeknik pada 2024 berbanding 2023, menurut Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Beliau menambah kesan tersebut berbeza di seluruh kumpulan kursus politeknik.
Sebagai contoh, lulusan daripada kumpulan kursus seperti sains kesihatan serta sains kemanusiaan dan sosial terus mencatatkan hasil pekerjaan yang kukuh, manakala lulusan daripada bidang kejuruteraan serta teknologi maklumat dan digital mengalami kadar pengangguran lebih tinggi.
“Ini mungkin disebabkan oleh perubahan sektor yang bersifat kitaran, seperti kemerosotan dalam sektor teknologi yang juga menjejas permintaan pekerjaan,” ujarnya di Parlimen pada 4 Februari.
Beliau menjawab hal itu apabila ditanya beberapa Ahli Parlimen (AP), termasuk Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang) dan Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), mengenai kenaikan kadar pengangguran lulusan politeknik terbaru berdasarkan Kajian Pekerjaan Lulusan terkini.
Keputusan kajian itu dikeluarkan pada 13 Januari, lapor The Straits Times (ST).
Encik Chan berkata Kementerian Pendidikan (MOE) mendapati beberapa lulusan menolak tawaran pekerjaan sepenuh masa atas pelbagai sebab, antaranya kurang keseimbangan kerja-kehidupan atau ketidakpuasan terhadap gaji yang ditawarkan.
MOE akan terus memantau jika trend itu berterusan dan jika ia memberi kesan jangka panjang terhadap hasil (pencarian) pekerjaan lulusan, tambahnya.
Keputusan kajian pekerjaan lulusan terbaru yang dijalankan oleh lima politeknik Singapura pada 2024 menunjukkan 54.6 peratus lulusan terbaru mereka mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa pada 2024.
Ini merupakan penurunan daripada hampir 60 peratus pada 2023 dan 59 peratus pada 2022, apabila prospek pekerjaan semakin meningkat selaras dengan pemulihan ekonomi Singapura selepas pandemik Covid-19.
Sebanyak 7,614 daripada 10,045 lulusan politeknik terbaru memberi maklum balas terhadap kajian 2024 itu.
Mereka ditanya mengenai status pekerjaan mereka pada 1 Oktober 2024, sekitar enam bulan selepas tamat pengajian.
Daripada mereka yang memberi maklum balas, 50.4 peratus sudah bekerja, manakala 48.9 peratus tidak secara aktif mencari pekerjaan disebabkan ingin melanjutkan pengajian atau sedang bersedia memulakan pengajian lebih tinggi. Baki responden mengatakan mereka tidak mencari pekerjaan.
Secara keseluruhannya pada 2024, 87.5 peratus lulusan politeknik yang berada dalam sektor pekerjaan berjaya mendapat pekerjaan tetap, bebas atau secara sambilan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau selepas menyelesaikan Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg