Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSI catat paras sederhana pada pagi 26 Mac

Susulan amaran awal risiko tinggi jerebu rentas sempadan ekoran cuaca kering berpanjangan di subwilayah Mekong
Mar 26, 2025 | 3:30 PM
Jerebu kelihatan di udara di kawasan Clementi Avenue 3 pada 9.35 pagi, 26 Mac.
Jerebu kelihatan di udara di kawasan Clementi Avenue 3 pada 9.35 pagi, 26 Mac. - Foto ST

Jerebu yang menyeliputi langit Singapura pada pagi 26 Mac, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) – ukuran mutu udara di sini – mencatatkan paras sederhana pada 9 pagi.

Ini berlaku di tengah-tengah amaran awal yang dikeluarkan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) pada 17 Mac, mengenai risiko tinggi jerebu rentas sempadan yang teruk di rantau ini, ekoran cuaca kering yang berpanjangan dan “tompok panas yang ketara dan berterusan”.

“Tompok panas dan asap jerebu di subwilayah Mekong bertambah buruk dalam beberapa hari kebelakangan ini ekoran cuaca kering yang berpanjangan,” kata pusat itu.

Peta di laman web ASMC menunjukkan tompok panas di Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam, lapor The Straits Times.

Singapura kini berada dalam musim monsun timur laut, dengan angin bertiup kebanyakannya dari barat laut atau timur laut.

Ini bermakna kemungkinan kepulan asap daripada tompok panas di negara-negara utara Republik ini boleh dihembus ke arah Singapura.

Menurut data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bacaan PSI 24 jam adalah antara 61 dengan 75 pada 9 pagi, dengan bacaan tertinggi direkodkan di kawasan tengah.

Ini kali pertama ia mencecah tahap sedemikian sejak 15 Januari.

Bacaan PM2.5 - partikel jirim zarah yang mempunyai saiz lebih kecil daripada 2.5 mikrometer - selama satu jam, bagaimanapun, berada pada tahap normal.

PM2.5 ialah bahan pencemar yang dominan semasa tempoh jerebu rentas sempadan.

Ukuran PSI berasaskan enam bahan pencemar, termasuk PM10 (yang mempunyai saiz lebih kecil daripada 10 mikrometer), PM2.5, sulfur dioksida, karbon monoksida, ozon dan nitrogen dioksida.

Bacaan PSI 51 hingga 100 berada dalam julat sederhana.

Dalam keadaan ini, orang ramai boleh meneruskan kegiatan biasa mereka.

Mutu udara tidak sihat adalah apabila paras PSI berada antara 101 dengan 200.

Jika keadaan itu terjadi, orang ramai harus mengurangkan kegiatan jasmani yang berpanjangan atau berat di luar.

Mereka yang mudah terjejas termasuk golongan warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dengan meminimumkan, atau mengelakkan kegiatan luar.

Berdasarkan data satelit, ASMC berkata sebanyak 2,177 tompok panas dikesan di sebahagian rantau Mekong pada 15 Mac dan 1,941 pada 16 Mac.

Ini adalah peningkatan daripada jumlah tompok panas yang dikesan pada permulaan musim kemarau bagi rantau utara Asean pada awal Januari.

Sebanyak 164 tompok panas dikesan di subwilayah Mekong pada 31 Disember, dan 335 dikesan pada 1 Januari.

“Jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal yang meluas diperhatikan merentangi banyak bahagian Myanmar, serta bahagian utara Thailand, Laos dan Vietnam,” kata ASMC.

Menurutnya, kepulan asap yang sedikit hingga sederhana juga diperhatikan muncul dari kawasan tompok panas terpencil di tempat lain di subwilayah Mekong.

ST telah menghubungi NEA untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg