Selepas melalui episod bencana banjir antara yang terburuk dalam sejarah sejak akhir 2024 di beberapa negeri, Malaysia kini diramal mengalami cuaca panas dan kering pula mulai Februari hingga Mei 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata Malaysia kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut (MLT) yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac.
Menurut beliau, dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan akan berkurangan dan catatan suhu harian tertinggi di beberapa kawasan terutama di utara dan timur Semenanjung boleh melebihi 35 darjah Celsius.
“Selain itu, gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh ini.
“Namun begitu, keadaan ini diramal tidak seburuk 2024 disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang dan dijangka berterusan sehingga pertengahan 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Februari.
Beliau berkata ketiadaan hujan dalam tempoh panjang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan dan beberapa negeri terutama Perak, Pahang dan Kelantan dijangka antara yang akan terjejas dengan keadaan itu.
“Keadaan cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun bermula pada Februari hingga Mei,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Dr Mohd Hisham berkata suhu tertinggi yang dicatat di stesen-stesen MetMalaysia di seluruh negara itu pada 11 Februari 2025 adalah 36.1 darjah Celsius, yang direkodkan di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah.
Beliau berkata dalam keadaan cuaca panas dan kering, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, minum air secukupnya, mengelakkan kegiatan luar berlebihan serta sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka.
“Orang ramai juga dinasihati mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas. MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di serata negara.
“Orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia serta aplikasi myCuaca,” katanya.
Dalam pada itu Berita Harian Malaysia melaporkan, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Encik Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata daerah Baling di Kedah kini berdepan cuaca panas Tahap 1 iaitu berjaga-jaga apabila mencatatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg