Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura usaha hantar bekalan pelitup N95 dari gedung ke kedai
S’pura usaha hantar bekalan pelitup N95 dari gedung ke kedai
Singapura mempunyai bekalan pelitup N95 yang mencukupi dalam simpanan stoknya, dengan sekitar sejuta pelitup sudah diedarkan kepada peruncit, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 17 Oktober.
Sedang terdapat kedai yang kini kehabisan stok, pemerintah sedang bekerjasama dengan pihak peruncit untuk menghantar pelitup dari gedung ke kedai secepat mungkin.
NEA memberi perkembangan terkini itu dalam satu kenyataan di media sosial.
Mengenai bekalan pembersih udara pula, NEA berkata beberapa kedai juga mungkin mengalami kekurangan stok.
Agensi yang relevan sedang bekerjasama dengan peruncit untuk menokok stok pembersih udara.
“Kami meminta kerjasama orang ramai untuk membeli apa yang anda perlukan sahaja untuk memastikan bekalan itu boleh didapatkan oleh semua orang,” kata NEA.
Berkenaan skim pengagihan pelitup N95 oleh pemerintah pula, agensi itu berkata sekitar 14 peratus warga Singapura yang layak telah mengambil pelitup tersebut.
Warga Singapura yang layak boleh mengambil pelitup N95 itu di sebanyak 37 mesin layan diri serta 118 kelab masyarakat (CC) di serata Singapura.
Golongan yang layak termasuk warga Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) berwarna biru dan jingga, serta pemegang Kad Pengecualian Bayaran Perubatan serta penerima bantuan ComCare.
Wanita hamil, kanak-kanak berusia tujuh hingga 16 tahun dan individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti semput juga layak untuk mengambil pelitup di CC Persatuan Rakyat (PA).
Keadaan jerebu di Singapura berterusan hingga ke petang 17 Oktober walaupun bacaan PSI 24 jam di bahagian tengah Singapura turun kembali ke tahap tidak sihat, selepas kekal pada tahap sangat tidak sihat pada hari sebelumnya.
Pada 4.15 petang, bacaan PSI 24 jam berada dalam julat tidak sihat di semua kawasan: tengah (185), utara (132), selatan (160), timur (176), barat (191).
Sementara itu, bacaan PM2.5 setiap jam memasuki tahap tinggi di kawasan barat pada 158 pada pukul 11 pagi, dan kemudiannya diikuti oleh kawasan tengah dan selatan pada waktu tengah hari, serta kawasan timur pada 2 petang.