Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di Singapura berkemungkinan melebihi 200 dan memasuki tahap ‘sangat tidak sihat’.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media bersama agensi di bawah Pasukan Petugas Jerebu (HTF).

Kenyataan media berkenaan menyatakan agensi di bawah naungan HTF kini bersiap sedia untuk melaksanakan pelan tindakan serta nasihat panduan peringkat seterusnya demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Langkah itu secara khusus memberi tumpuan kepada golongan rentan yang merangkumi warga emas, wanita hamil, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit paru-paru dan jantung kronik.

Satu senarai nasihat panduan telah disediakan, merangkumi pengagihan pelitup N95, panduan khusus buat prasekolah, sekolah dan tempat kerja, serta nasihat bagi pengguna jalan raya, pengguna pengangkutan awam dan penganjuran kegiatan sukan.

Di samping itu, persediaan turut dibuat bagi menyediakan pusat perlindungan jerebu di sebilangan tempat.

Bagi warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak, mereka dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan luar.

Bagi individu yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung kronik pula, mereka dinasihatkan agar terus mengelak sebarang kegiatan luar.

Individu yang berasa kurang sihat, terutama warga emas, kanak-kanak, serta pesakit jantung atau paru-paru kronik, hendaklah segera mendapatkan rawatan perubatan.

Golongan rentan seperti warga emas, wanita hamil dan pesakit jantung atau paru-paru kronik boleh memakai pelitup N95 bagi mengurangkan pendedahan apabila bacaan PSI berada pada tahap ‘sangat tidak sihat’.

Namun, mereka juga harus berunding dengan doktor masing-masing terlebih dahulu sebelum menggunakan pelitup N95.

Apabila bacaan PSI memasuki tahap ‘sangat tidak sihat’, organisasi akar umbi Persatuan Rakyat (PA) akan mula mengagihkan pelitup N95 kepada rakyat Singapura yang layak.

Demi melengkapkan usaha pengagihan pelitup N95 kepada yang layak menerimanya, mesin pengeluar pelitup juga akan disediakan di hab pengangkutan awam dan pejabat perkhidmatan sosial terpilih.

Selain itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) mewajibkan prasekolah menghentikan semua kegiatan luar dan kegiatan fizikal berat di dalam bilik darjah, semasa mutu udara berada pada tahap ‘sangat tidak sihat’.

Kementerian Pendidikan (MOE) dan pihak sekolah juga mempunyai perancangan demi memastikan kesejahteraan pelajar serta kakitangan jika situasi jerebu berlarutan.

Antaranya, sesi pembelajaran di dalam bilik darjah akan diteruskan dengan penyesuaian yang wajar.

Kegiatan luar juga akan dielakkan, manakala pelajar dan kakitangan yang tidak sihat akan dihantar untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Bagi peperiksaan rasmi peringkat kebangsaan pula, pihak sekolah telah membuat perancangan supaya semua calon menduduki kertas peperiksaan di dalam ruang tertutup seperti bilik darjah atau dewan.

Pembersih udara akan turut disediakan agar peperiksaan dapat diteruskan jika keadaan jerebu memburuk secara tidak diduga.

Bagi memastikan kerja di luar rumah dapat dijalankan secara selamat, majikan hendaklah mematuhi garis panduan jerebu daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan nasihat pihak berkepentingan dalam melaksanakan langkah pengurangan risiko.

Langkah pencegahan merangkumi had kerja luar yang berpanjangan atau berat bagi pekerja, penggunaan bantuan mekanikal, melaksanakan penggiliran tugas, penjadualan waktu rehat di dalam bangunan, serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.

Pemandu kenderaan pula diingatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan menghidupkan lampu utama kenderaan apabila jarak penglihatan terjejas.

Bagi penganjuran kegiatan sukan, penganjur dan pemilik kemudahan sukan harus membuat pertimbangan tertentu.

Ini termasuk mengubah suai atau menangguhkan kegiatan yang diadakan di luar bangunan serta di kemudahan tanpa penyaman hawa bagi mengurangkan pendedahan yang berpanjangan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti