Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP: Tekan kepentingan berbual dengan penduduk minoriti guna bahasa mereka

Bakal calon PSP di SMC Marymount perjelas kebiasaan pasukan libatkan calon yang boleh berbual pelbagai bahasa untuk lebih fahami penduduk dengan jelas, tepat
Apr 17, 2025 | 6:49 PM
Encik Tony Tan Lay Thiam, 55 tahun (kiri), dan Encik Jeffrey Khoo, 56 tahun, bakal calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang masing-masing akan  bertanding di SMC Kebun Baru dan SMC Marymount pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Tony Tan Lay Thiam, 55 tahun (kiri), dan Encik Jeffrey Khoo, 56 tahun, bakal calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang masing-masing akan bertanding di SMC Kebun Baru dan SMC Marymount pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA

Bakal calon baru Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagi SMC Marymount, Encik Jeffrey Khoo, menekankan kepentingan kepelbagaian bahasa apabila berkomunikasi dengan penduduk bangsa minoriti. 

Menurut Encik Khoo, sudah menjadi kebiasaan PSP mengadakan lawatan ke tempat awam bersama calon yang fasih berbual beberapa bahasa, termasuk bahasa Melayu. 

Dengan cara itu, calon PSP dapat menjalin hubungan dengan penduduk Melayu, katanya kepada media di pusat beli-belah Bishan North pada 17 April. 

Encik Khoo, yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), memberitahu media, beliau boleh berbual sedikit dalam bahasa Melayu.  

Untuk memastikan keperluan dan kebimbangan penduduk dapat dikenal pasti dengan tepat, PSP berusaha melibatkan calon daripada pelbagai latar belakang.  

“Saya rasa amat penting untuk memahami apakah yang penduduk inginkan dengan jelas, dan tidak setakat meneka,” kata Encik Khoo.

Pada masa ini, bakal calon Melayu PSP yang telah diumumkan ialah Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah. 

Dua muka baru PSP itu telah dilihat menyertai bakal calon NSP, Cik Hazel Poa, di Pasar Boon Lay Place pada 5 April.

Walaupun kini beliau berada di kawasan undi baru, Encik Khoo menjelaskan beliau kenal dan memahami masyarakat Marymount. 

Encik Khoo, ketua pegawai eksekutif sebuah firma perunding risiko serantau, mula berinteraksi dengan masyarakat di kawasan itu sejak Ogos 2020, selepas GE2020.

Beliau turut berkongsi tiga aspek terpenting baginya pada GE2025 – kos sara hidup, pekerjaan dan pendidikan.  

Menurut Encik Khoo, isu pekerjaan warga Singapura telah mendorongnya bertanding sebagai bakal calon PSP. 

“Saya mempunyai ramai kawan yang mempunyai kelayakan yang bagus, tetapi menganggur. Mereka tidak diberi peluang mencapai potensi penuh,” katanya.  

Sebagai seorang bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah, Encik Khoo menerangkan betapa pentingnya memastikan pendidikan di sekolah dapat menyiapkan generasi muda Singapura untuk dunia yang sentiasa berubah. 

Encik Khoo turut disertai Encik Tony Tan Lay Thiam, bekas calon Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang kini akan bertanding di SMC Kebun Baru. 

Kededua bakal calon PSP itu telah diperkenalkan oleh Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, yang turut berkongsi pengalaman kededuanya dalam politik. 

“Encik Tony Tan telah menarik perhatian saya kerana sikap kasih sayangnya terhadap masyarakat dan rakan-rakan sekeliling,” kata Dr Tan. 

Pada 2020, Encik Tan telah menyokong isterinya, Cik Poa, apabila beliau berkempen di Nanyang, dan menjelaskan bahawa kebimbangan penduduk di sana tidak jauh berbeza daripada penduduk kawasan lain. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg