Bilangan warga emas di Singapura semakin meningkat, namun ramai masih belum membuat perancangan bagi menghadapi saat kematian, kata mantan presiden Puan Halimah Yacob.
Justeru, beliau menggesa warga emas supaya memulakan perbincangan tersebut dan menekankan bahawa langkah itu penting bagi memudahkan urusan orang tersayang yang sedang berduka apabila ajal mereka tiba.
Bercakap semasa simposium mengenai perancangan harta pusaka anjuran perusahaan sosial, Silver Caregivers Cooperative, pada 17 Mei, Puan Halimah mengakui perancangan harta pusaka merupakan topik yang sensitif dan generasi muda mungkin tidak berani untuk membangkitkan isu berkaitan kematian.
“Menyampaikan hasrat terakhir kita, atau memberitahu orang tersayang tentang pilihan kita berkaitan upacara pengebumian dan amalan keagamaan, amat penting supaya mereka ada panduan,” ujarnya.
Urusan orang tersayang akan menjadi lebih mudah jika mereka tahu hasrat dan kemahuan kita – sekali gus mengelakkan kekeliruan dan memberi ketenangan minda kepada semua pihak, tambahnya.
Puan Halimah turut berkongsi bahawa seperti orang lain, beliau sudah lama memikirkan soal perancangan legasi, namun belum mengambil langkah pertama.
“Saya kini berusia 71 tahun, jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya lakukan sesuatu mengenainya,” kata ibu lima orang anak itu.
Perancangan legasi merangkumi rancangan pengagihan harta dan aset, penyediaan wasiat dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), serta perbincangan mengenai Pelan Penjagaan Awal bagi menetapkan pilihan rawatan perubatan.
LPA ialah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik individu lain untuk membuat keputusan bagi mereka dalam soal kebajikan peribadi dan harta, jika mereka hilang upaya mental pada suatu hari nanti.
Aset digital – seperti akaun kewangan, e-mel, media sosial, akaun perniagaan dalam talian dan peranti teknologi – juga semakin banyak dibincangkan dalam dokumen wasiat dan perancangan akhir hayat.
Beberapa firma guaman telah menyaksikan peningkatan ketara dalam pertanyaan berkaitan mata wang kripto atau aset digital lain seperti token tidak mudah alih (NFT), lapor The Straits Times (ST).
Simposium tersebut, yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Paya Lebar, dihadiri sekitar 120 peserta yang ingin mendalami topik perancangan warisan.
Profesor Madya Thang Leng Leng dari Universiti Nasional Singapura (NUS), yang menyampaikan pembentangan semasa acara itu, berkata selain pengagihan aset, perancangan legasi juga merangkumi nilai, hasrat dan pilihan seseorang.
Peguam Norhakim Md Shah pula menggesa para peserta simposium supaya membuat LPA.
“Dengan menyediakan LPA, kita menyelesaikan masalah yang boleh dijangka lebih awal. Tiada siapa yang hidup selama-lamanya, dan ada perkara yang boleh kita lakukan bagi membantu orang di sekeliling kita agar mereka tidak berdepan situasi rumit hanya kerana kita memilih untuk tidak membuat sebarang persediaan.”
Yuran permohonan LPA, yang biasanya berjumlah $75, kini dikecualikan bagi warga Singapura sehingga akhir Mac 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg