Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PUB akan lancar buku panduan tingkat daya tahan banjir di premis

Tawar garis panduan praktikal, reka bentuk bagi pemilik bangunan dan pemaju hartanah
May 20, 2025 | 3:51 PM
PUB, flood, banjir, guidebook
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di kawasan seperti Yishun, Holland, Bukit Timah dan Mountbatten. Bagi membantu menangani keadaan itu, lembaga air negara, PUB, menerbitkan buku panduan baru yang menggariskan pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pemilik hartanah dan karyawan seperti arkitek dan jurutera untuk mengurangkan risiko banjir, lengkap dengan kajian kes pelaksanaannya. - Foto ZAOBAO

Pemilik bangunan dan pemaju hartanah akan dapat merujuk kepada buku panduan pada pertengahan 2026 untuk mendapatkan idea tentang cara meningkatkan daya ketahanan banjir di premis mereka.

Buku panduan itu – yang akan dilancarkan oleh lembaga air negara, PUB – akan mengandungi langkah yang boleh dipertimbangkan oleh pemilik hartanah dan karyawan industri seperti arkitek dan jurutera.

Ia khusus untuk menangani banjir di pedalaman dan pesisir, serta kajian kes tentang bagaimana langkah tersebut telah dilaksanakan, lapor The Straits Times.

Dihasilkan bersama oleh jawatankuasa 11 anggota, Perikatan untuk Bertindak (AfA), ia akan memanfaatkan pengalaman industri dan kepakaran anggotanya, kata PUB dalam satu kenyataan pada 20 Mei.

Jawatankuasa itu dilancarkan oleh agensi tersebut pada 19 Mei dan terdiri daripada arkitek, jurutera dan pemaju.

Semasa pelancaran jawatankuasa tersebut, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata buku panduan itu bertujuan menetapkan prinsip dan garis panduan, bukan pendekatan “satu saiz untuk semua”.

Ia juga akan menyarankan langkah yang boleh diambil oleh pemilik bangunan pada peringkat pembangunan, tanpa menjejas matlamat penggunaan tanah.

Ini memberi pereka dan pemilik bangunan lebih kelonggaran dan ruang untuk kreativiti dalam menerapkan huraian paling sesuai, kata Dr Koh.

“Kami berharap dapat mencari keseimbangan antara memberikan panduan praktikal untuk ketahanan banjir tanpa menghalang kreativiti dengan penyesuaian berdasarkan keperluan berbeza,” tambahnya.

Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon (lima dari kanan), bersama anggota jawatankuasa buku panduan semasa acara pelancaran pada 19 Mei.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon (lima dari kanan), bersama anggota jawatankuasa buku panduan semasa acara pelancaran pada 19 Mei. - Foto PUB

Diumumkan semasa perbahasan bajet Kementerian Kemampanan dan Sekitaran pada Mac, buku panduan itu akan melengkapkan kod amalan PUB untuk perlindungan pesisir.

Jawatankuasa itu dijangka menyiapkan cadangannya menjelang suku pertama 2026 dan buku panduan tersebut akan dilancarkan pada pertengahan 2026.

Negara seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun telah menerbitkan buku panduan untuk pembangunan bagi meningkatkan daya tahan banjir.

Jawatankuasa itu akan merujuk kepada panduan tersebut dalam menghasilkan buku panduan yang sesuai untuk Singapura.

Dokumen Amerika mengandungi strategi untuk mengelakkan dan mengurangkan kerosakan akibat banjir melalui langkah seperti kalis banjir kering (dry flood-proofing) menggunakan bahan binaan tahan air, atau membina atap vegetatif atau atap hijau untuk menahan air hujan.

Langkah daya tahan banjir yang telah diterapkan dalam pembangunan di Singapura juga akan dirujuk, kata PUB.

Antaranya ialah contoh menaikkan aras rabung (crest level) di beberapa stesen MRT dengan pembinaan anak tangga bagi menghalang air banjir menyelinap masuk.

Jawatankuasa itu bukan sahaja akan menghasilkan buku panduan untuk perancangan dan reka bentuk pembangunan bagi menahan banjir, bahkan akan memberikan nasihat mengenai langkah khusus yang sesuai dengan persekitaran binaan di Singapura.

Ia juga akan mengesyorkan cara menggalakkan penerapan reka bentuk bagi meningkatkan daya tahan banjir dalam pembangunan di sini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di kawasan seperti Yishun, Holland, Bukit Timah dan Mountbatten. 

Penduduk di Jalan Seaview, Mountbatten, terjejas oleh banjir kilat semasa gelombang monsun pertama pada 10 Januari, yang berlaku serentak dengan air pasang setinggi 2.8 meter.

Jawatankuasa itu dipimpin bersama oleh Ketua Eksekutif PUB, Encik Ong Tze-Ch’in; mantan Presiden Institut Arkitek Singapura, Encik Melvin H.J. Tan; dan Presiden Lembaga Jurutera Profesional, Encik Lim Peng Hong.

Encik Tan berkata walaupun usaha tertumpu pada persekitaran binaan mampan, arkitek, perunding dan pemaju hartanah perlu mempunyai pemikiran bagi mencegah agar bangunan yang dirancang bukan sahaja sensitif terhadap persekitaran, bahkan juga menawarkan perlindungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg