Agensi air negara, PUB melancarkan percubaan selama setahun pada 11 November bagi satu Kenderaan Pengepam Kawalan Jauh (RPV) baharu yang direka untuk mengalirkan air banjir dengan lebih pantas.

Bergantung pada saiz kawasan yang terjejas, kenderaan itu mampu mengepam keluar air setara sebuah kolam renang Olimpik dalam tempoh lima jam, sekali gus mempercepatkan proses pengaliran air banjir yang sebelum ini boleh mengambil masa lebih lama.

Percubaan itu bertujuan menguji keberkesanan RPV dalam menyokong operasi tindak balas banjir PUB dengan mengepam keluar air banjir bagi mempercepatkan proses pengurangan banjir dan pemulihan kawasan terjejas.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PUB untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan keupayaan pemantauan dan tindak balas banjir, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pemantauan secara manual dan membolehkan amaran banjir disampaikan lebih awal kepada orang ramai.

Ketua Jurutera (Operasi Saliran), Jabatan Kawasan Tadahan dan Laluan Air, Encik Ivan Chua, berkata antara faktor yang akan dipertimbangkan PUB dalam menilai keberkesanan RPV itu termasuk kelajuan operasi, keupayaan mengepam air serta sama ada kenderaan itu dapat digunakan dengan berkesan di lokasi-lokasi yang memerlukannya.

“RPV akan membolehkan kami bertindak balas terhadap banjir dengan lebih pantas, berkesan dan selamat, khususnya di kawasan yang sukar diakses oleh pegawai kami.

“Walaupun PUB terus memperkukuh ketahanan Singapura terhadap banjir, perlindungan mutlak daripada banjir tidak mungkin dapat dicapai.

Dalam satu demonstrasi secara langsung Kenderaan Pengepam Kawalan Jauh (RPV), yang membolehkan pekerja PUB menjalankan kerja mengepam air di kawasan yang sukar atau tidak selamat untuk dimasuki, khususnya semasa banjir.
Dalam satu demonstrasi secara langsung Kenderaan Pengepam Kawalan Jauh (RPV), yang membolehkan pekerja PUB menjalankan kerja mengepam air di kawasan yang sukar atau tidak selamat untuk dimasuki, khususnya semasa banjir. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Oleh itu, menerusi kempen ketahanan banjir tahun ini, kami ingin menegaskan semula bahawa setiap orang mempunyai peranan, sama ada dengan mendapatkan maklumat yang lebih tepat, mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila banjir berlaku atau mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal,” katanya.

PUB mengumumkan inisiatif itu pada 11 November semasa satu demonstrasi media RPV di Stesen Pam Pandan 1 dekat West Coast Rd, yang turut diadakan sempena kempen ketahanan banjir ketiganya ‘When it Comes to Floods, Make Your Own Luck’.

Kempen itu menekankan bahawa banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa dan setiap orang perlu bersedia menghadapinya.

Sebagai contoh, pemandu kenderaan digalakkan mengikuti saluran Telegram @PUBFloodAlerts dan menggunakan aplikasi myENV sebelum memulakan perjalanan.

Mereka juga boleh menyemak unit dalam kenderaan (OBU) masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini supaya dapat memilih laluan alternatif dan mengelakkan kawasan yang dilanda banjir.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ketahanan banjir, PUB merancang untuk memasang lagi 15 Sensor Banjir Jalan Raya (RFS) di tepi jalan raya di lokasi-lokasi yang terdedah kepada banjir menjelang musim monsun yang bakal tiba.

Ini menyusuli percubaan selama enam bulan yang menyaksikan 30 sensor dipasang dan memberikan hasil yang menggalakkan.

Dengan penambahan itu, jumlah RFS yang dipasang di seluruh negara akan meningkat kepada 45. Kesemua RFS masih dalam peringkat percubaan.

RFS mampu menghantar amaran mengenai kemungkinan banjir di jalan raya dalam tempoh seminit. Buat masa ini, amaran tersebut dihantar terus kepada PUB bagi membantu kajian sepanjang tempoh percubaan.

PUB juga sedang memperluas rangkaian sensornya dengan menyasarkan pemasangan sekitar 500 lagi Sensor Paras Air (WLS) dan kamera litar tertutup (CCTV) di bawah tanah bagi membolehkan keadaan longkang dan terusan dipantau dari jauh sepanjang masa.

Buat masa ini, PUB telah memasang lebih 1,200 WLS dan lebih 700 CCTV di seluruh negara.

Di samping itu, PUB mengiktiraf bahawa perniagaan, pemaju dan pemilik hartanah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketahanan Singapura terhadap banjir.

Bagi menyokong usaha mereka, PUB melancarkan buku panduan Perkembangan Tahan Banjir (FRD) pada Jun 2026.

Buku itu menyediakan panduan praktikal, contoh dan kajian kes mengenai pembangunan yang berjaya menerapkan reka bentuk serta strategi operasi yang tahan banjir.

Salah satu contohnya ialah kampus Institut Teknologi Singapura (SIT) di Punggol, yang menurut PUB, mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap ketahanan banjir dalam perancangannya dengan menerapkan pelbagai ciri reka bentuk ‘ABC Waters’ yang merujuk kepada reka bentuk di bawah model Air Aktif, Indah, Bersih (ABC Waters) di bangunan dan ruang sekitarnya.

Daripadanya termasuk kawasan hijau dan biru SIT yang bukan sekadar ruang untuk masyarakat berkumpul.

Malah, ketika hujan lebat, kawasan berumput dan kolam takungan di situ berfungsi menampung air hujan buat sementara waktu, sekali gus meningkatkan ketahanan kawasan itu terhadap banjir.