Agensi air negara PUB mengeluarkan amaran risiko banjir di serata Singapura berikutan hujan lebat pada pagi 14 Oktober.
Pada 7.55 pagi, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata hujan lebat dijangka melanda kawasan utara, barat dan tengah Singapura, dari 8.05 pagi hingga 8.45 pagi.
NEA kemudian menambah bahawa hujan juga dijangka turun di kawasan selatan, timur dan tengah Singapura, dari 8.40 pagi hingga 10.15 pagi.
Dalam kemas kininya menerusi mesej di aplikasi Telegram, antara sekitar 8 pagi dengan 9.15 pagi, PUB mengeluarkan, secara keseluruhan, 19 amaran risiko banjir kilat di kawasan seperti Bedok, Joo Chiat Avenue, Sunset Way dan Ulu Pandan Road.
Orang ramai diminta mengelakkan tempat-tempat itu selama sekurang-kurangnya sejam.
Menurut laman web Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), setakat tengah hari pada 14 Oktober, kawasan Kent Ridge merekodkan limpahan hujan tertinggi pada kadar 127.2 milimeter (mm), lebih tinggi daripada kadar maksimum 95.4mm yang pernah dicatatkan di Jurong Pier pada separuh kedua September.
Menurut The Straits Times (ST), paras air yang tinggi kelihatan di sepanjang Penghubung Taman Ulu Pandan pada 9.10 pagi.
Satu video yang dimuat naik di Facebook pada 8.52 pagi pula menunjukkan kenderaan melintasi jalan yang dinaiki air di hadapan Lakeside Towers di Yuan Ching Road.
Tah Ching Road, jalan yang berada di hadapan Lakeside Towers, merupakan di antara beberapa jalan di Jurong West yang dinaiki air pada November 2023.
Dalam satu panduan yang dikeluarkan pada 1 Oktober, MSS berkata hujan berserta guruh dijangka turun pada petang kebanyakan hari di separuh pertama Oktober, dan pada beberapa hari, ia mungkin berlarutan hingga malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg