Agensi air negara, PUB, memberi amaran bahawa air pasang tinggi diramal dari 26 hingga 28 November dan boleh mengakibatkan banjir kilat jika hujan turun ketika itu.

Air pasang antara 3.3 dengan 3.5 meter juga dijangka pada beberapa hari sekitar Krismas dan pada Januari 2027.

Dalam kenyataan pada 23 November, PUB menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap banjir di kawasan rendah pesisir pantai.

Dengan bermulanya monsun timur laut, risiko banjir dijangka meningkat jika hujan lebat turun ketika air pasang tinggi.

PUB berkata terdapat risiko banjir pada tarikh dan waktu berikut:

  1. 26 hingga 28 November, 10.30 pagi hingga 1 petang, dengan paras air pasang dijangka mencapai 3.3 meter.
  2. 25 hingga 28 Disember, 12 tengah hari hingga 2 petang, dengan paras air pasang mungkin naik 3.3 hingga 3.4 meter.
  3. 23 hingga 26 Januari, 11 pagi hingga 1.30 petang, dengan paras air pasang mungkin mencecah 3.3 hingga 3.5 meter.

Menurut PUB, kawasan rendah pesisir pantai seperti East Coast Park mungkin dilanda banjir sementara apabila air pasang melimpah dari terusan dan longkang yang mengalir ke laut.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banjir seperti itu didapati berlaku walaupun tanpa hujan apabila paras air pasang melebihi 3.3 meter,” tambah PUB.

Pulau Ubin juga cenderung mengalami banjir pada waktu siang ketika air pasang tinggi. Air meresap naik ke jalan dan menjejas beberapa rumah serta kedai di kawasan rendah kampung itu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Banjir boleh menjadi lebih meluas dan teruk jika hujan lebat turun ketika air pasang tinggi kerana paras laut yang lebih tinggi menyukarkan air hujan mengalir dari longkang dan terusan ke laut.

Banjir kilat juga boleh melanda jalan raya dan kawasan rendah lain di pesisir atau di pedalaman, terutama jika sistem salirannya dipengaruhi pasang surut air laut.

Pada 10 Januari 2025, hujan berterusan ketika air pasang tinggi menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah pesisir East Coast.

Banjir di Jalan Seaview, Mountbatten, berlarutan hampir tiga jam.

Pemandu dan pengguna pengangkutan awam digesa memuat turun aplikasi myENV atau melanggan makluman banjir PUB di Telegram (@pubfloodalerts) untuk mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca dan banjir.

Orang ramai boleh menyemak keadaan lalulintas melalui unit dalam kenderaan (OBU) dan penutupan taman di laman web Lembaga Taman Negara (NParks).