Topik diikuti
Pergi ke BHkuPUB uji kenderaan pam kawalan jauh tangani segera air bah
Langkah manfaatkan teknologi bagi tingkat keupayaan pemantauan, tindak balas banjir
PUB uji kenderaan pam kawalan jauh tangani segera air bah
Agensi air negara, PUB, melancarkan percubaan selama setahun pada 11 November bagi Kenderaan Pengepam Kawalan Jauh (RPV) baharu yang direka untuk mengalirkan air banjir dengan lebih pantas.
Bergantung pada saiz kawasan yang terjejas, kenderaan itu mampu mengepam keluar air setara sebuah kolam renang Olimpik dalam tempoh lima jam, sekali gus mempercepatkan proses pengaliran air banjir yang sebelum ini boleh mengambil masa lebih lama.
Percubaan itu bertujuan menguji keberkesanan RPV dalam menyokong operasi tindak balas banjir PUB dengan mengepam keluar air banjir bagi mempercepatkan proses pengurangan banjir dan pemulihan kawasan terjejas.
Daya usaha itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PUB untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan keupayaan pemantauan dan tindak balas banjir.
Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pemantauan secara manual dan membolehkan amaran banjir disampaikan lebih awal kepada orang ramai.
Ketua Jurutera (Operasi Saliran), Jabatan Kawasan Tadahan dan Laluan Air, Encik Ivan Chua, berkata antara faktor yang akan dipertimbangkan PUB dalam menilai keberkesanan RPV itu termasuk kelajuan operasi, keupayaan mengepam air serta sama ada kenderaan itu dapat digunakan dengan berkesan di lokasi yang memerlukannya.
“RPV akan membolehkan kami bertindak balas terhadap banjir dengan lebih pantas, berkesan dan selamat, khususnya di kawasan yang sukar diakses oleh pegawai kami.
“Walaupun PUB terus memperkukuh daya ketahanan Singapura terhadap banjir, perlindungan mutlak daripada banjir tidak mungkin dapat dicapai.
“Oleh itu, menerusi kempen daya ketahanan banjir tahun ini (2026), kami ingin menegaskan semula bahawa setiap orang mempunyai peranan, sama ada dengan mendapatkan maklumat lebih tepat, mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila banjir berlaku atau mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal,” katanya.
PUB mengumumkan inisiatif itu pada 11 November semasa demonstrasi media RPV di Stesen Pam Pandan 1 dekat West Coast Road, yang turut diadakan sempena kempen daya ketahanan banjir ketiganya, ‘When it Comes to Floods, Make Your Own Luck’ (Berkenaan Banjir, Cipta Nasib Anda Sendiri).
Kempen itu menekankan bahawa banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa dan setiap orang perlu bersedia menghadapinya.
Sebagai contoh, pemandu kenderaan digalakkan mengikuti saluran Telegram @PUBFloodAlerts dan menggunakan aplikasi myENV oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebelum memulakan perjalanan.
Mereka juga boleh menyemak unit dalam kenderaan (OBU) masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini supaya dapat memilih laluan alternatif dan mengelakkan kawasan yang dilanda banjir.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ketahanan banjir, PUB merancang memasang lagi 15 Pengesan Banjir Jalan Raya (RFS) di tepi jalan raya di lokasi yang terdedah kepada banjir menjelang musim monsun yang bakal tiba.
Ini menyusuli percubaan selama enam bulan yang menyaksikan 30 pengesan dipasang dan memberikan hasil yang menggalakkan.
Dengan penambahan itu, jumlah RFS dipasang di seluruh negara akan naik kepada 45. Kesemua RFS masih dalam percubaan.
RFS mampu menghantar amaran mengenai kemungkinan banjir di jalan raya dalam tempoh seminit.
Buat masa ini, amaran tersebut dihantar terus kepada PUB bagi membantu kajian sepanjang tempoh percubaan.
PUB juga sedang memperluas rangkaian sensornya dengan menyasarkan pemasangan sekitar 500 lagi Pengesan Paras Air (WLS) dan 200 lagi kamera litar tertutup (CCTV) di bawah tanah bagi membolehkan keadaan longkang dan terusan dipantau dari jauh sepanjang masa.
Buat masa ini, PUB telah memasang lebih 1,200 WLS dan lebih 700 CCTV di seluruh negara.
Di samping itu, PUB mengiktiraf bahawa perniagaan, pemaju dan pemilik hartanah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya ketahanan Singapura terhadap banjir.
Bagi menyokong usaha mereka, PUB melancarkan Flood-Resilient Developments Guidebook (Buku Panduan Perkembangan Daya Tahan Banjir) pada Jun 2026.
Buku itu menyediakan panduan praktikal, contoh dan kajian kes mengenai projek pembangunan yang telah berjaya menerapkan reka bentuk serta strategi operasi yang tahan banjir.
Salah satu contohnya ialah kampus Institut Teknologi Singapura (SIT) di Punggol, yang menurut PUB, mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap daya ketahanan banjir dalam perancangannya dengan menerapkan pelbagai ciri reka bentuk ‘ABC Waters’ yang merujuk kepada reka bentuk di bawah model Air Aktif, Indah, Bersih (ABC Waters) di bangunan dan ruang sekitarnya.
Ini termasuk kawasan hijau dan biru SIT yang bukan sekadar ruang untuk masyarakat berkumpul.
Malah, ketika hujan lebat, kawasan berumput dan kolam takungan di situ berfungsi menampung air hujan buat sementara waktu, sekali gus meningkatkan daya ketahanan kawasan itu terhadap banjir.