Bau harum dan ‘memanggil-manggil’ sajian tradisional pulut panggang yang menjadi hidangan berbuka puasa menusuk ke hidung ketika melintasi ruang Bazar Selera Ramadan di Yishun Central Hardcourt sekitar Yishun Street 72.
Bagaimanapun, pulut panggang ini bukan tersedia untuk dijual.
Sebaliknya, ia disusun sepanjang 9.2 meter bagi disenaraikan dalam Buku Rekod Singapura pada 8 Mac lalu.
Pencapaian itu diraikan Anggota Parlimen GRC Nee Soon, yang terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Cik Carrie Tan, Encik Louis Ng, dan Encik Derrick Goh.
Seramai 700 penduduk Nee Soon turut hadir bagi melihat pulut panggang yang disusun rapi itu dipanggang beramai-ramai seperti satu projek kemasyarakatan.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Dr Faishal menjelaskan bahawa acara itu diadakan memupuk pemahaman masyarakat lain tentang warisan Melayu termasuk dalam aspek makanan.
“Pulut panggang boleh dinikmati bersama pelbagai jenis lauk Melayu.
“Makanan tradisional ini dipilih untuk mewakili warisan budaya Melayu yang kaya dalam suasana perayaan.
“Usaha mencipta rekod bagi Buku Rekod Singapura ini juga memberi peluang kepada masyarakat lain untuk lebih mengenali warisan Melayu serta merasakan kemeriahan menyambut Ramadan di bazar ini, dalam masyarakat berbilang budaya.”
Walaupun terdapat bazar lain, baik berskala besar atau kecil di seluruh negara termasuk kawasan kejiranan, Dr Faishal menganggap bazar masyarakat membawa nilai tersendiri kepada orang ramai.
“Dengan lokasi yang strategik, iaitu berdekatan dengan stesen MRT, ia membuka peluang kepada warga Singapura lain untuk merasakan suasana perayaan dan berkongsi kemeriahannya bersama penduduk di Nee Soon,” katanya lagi.
Memandangkan lokasi bazar ini terletak di tengah-tengah kawasan perumahan, bazar ini juga memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat.
“Salah satu kejayaan kita sebagai sebuah masyarakat ialah mewujudkan suasana mesra di Bazar Ramadan, di mana setiap individu berasa selesa walaupun berlainan kaum.
“Justeru, Bazar Selera Ramadan ini merupakan bukti usaha berterusan kita selama ini dalam mengukuhkan perpaduan agar kita dapat terus hidup berharmoni, damai, dan pada masa yang sama, membangun Singapura secara bersama,” jelasnya.
Pemilik Irmaya Wedding Gallery, Cik Nurmaya Mohd Salleh, turut berkongsi pandangan yang sama.
Buat julung-julung kalinya pada 2025, beliau mengagihkan sekitar 400 set bubur lambuk kepada penduduk Nee Soon sebagai usaha mengekalkan semangat kemasyarakatan.
Menurutnya, menyumbang kembali kepada masyarakat adalah tradisi penting bagi usahawan sepertinya.
“Saya anggap penting untuk terus berpegang pada nilai-nilai asal dan menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah menyokong saya selama ini,” katanya yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam sektor khidmat perkahwinan.
Bazar Selera Ramadan, yang terletak di luar stesen MRT Yishun ini, beroperasi hingga 23 Mac.
Ia menampilkan lebih 50 reruai yang menjual makanan, pakaian dan barangan keperluan rumah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg