Wisma Geylang Serai (WGS) telah mengagihkan sekitar 1,000 pek bubur kepada orang ramai pada 9 Mac, menandakan permulaan inisiatif pengagihan itu pada 2025.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, menyertai acara pengagihan tersebut.
Program itu akan diteruskan pada 16 dan 23 Mac, dari 4 hingga 6 petang bagi pengagihan bubur.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara WGS dengan 13 kumpulan penunggang motosikal, yang bersama-sama membantu mengumpul dana, mendapatkan penaja, serta menyediakan bubur untuk pengagihan tersebut.
Sementara itu, pengagihan beriani amal turut diadakan pada hari sebelumnya pada 8 Mac, dan akan disambung pada 15 dan 22 Mac mulai 5 petang.
Pengagihan nasi beriani dan bubur amal disediakan tertakluk kepada mereka yang tiba awal sementara bekalan masih ada di Tingkat 1 Wisma Geylang Serai, berhadapan kedai Saffrons.
Pihak WGS berkata ia adalah antara usaha mereka untuk menyemarakkan rasa kebersamaan dengan menghulurkan hidangan kepada masyarakat sebagai tanda kasih sayang.
Daya usaha itu dimulakan pada 2022 dengan kerjasama Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB), yang telah menyaksikan kumpulan penunggang motosikal setempat berkumpul untuk menderma, mendapatkan penaja, memasak dan mengagihkan bubur pada setiap Ahad semasa Ramadan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg