Mereka yang bakal atau sedang melalui Perkhidmatan Negara (NS) kini boleh mengakses pelbagai kemudahan serta perkhidmatan lengkap yang tersedia di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru di Bukit Gombak mulai 14 Oktober.
Setelah berpindah dari Depot Road, pusat bersepadu itu berfungsi sebagai hab sehenti bagi semua urusan berkaitan NS.
Ia termasuk kemudahan pemeriksaan perubatan hingga ke keperluan peribadi.
Dalam ucapannya semasa pelancaran rasmi bangunan itu, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chun Sing, berkata kemudahan baru itu menjadi bukti komitmen pemerintah dalam menyokong mereka yang berkhidmat kepada Singapura.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, turut hadir pada majlis pelancaran itu.
“Mindef (Kementerian Pertahanan) dan SAF (Angkatan Bersenjata Singapura) komited dalam memastikan ia (kemudahan CMPB) menjadi pengalaman yang paling cekap dan berkesan, sepanjang perjalanan anggota NS,” kata Encik Chan.
Bangunan CMPB tersebut memberi tumpuan kepada penyepaduan perkhidmatan kesihatan melalui Pusat Pengkelasan Perubatan (MCC) dan Hab Kesihatan Serantau (RHH) bagi anggota SAF.
Sebelum ini, bakal rekrut perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan di bangunan lama di Depot Road, sebelum dihantar ke pelbagai kemudahan perubatan lain sekiranya memerlukan pemeriksaan lanjut.
Namun, pusat MCC di CMPB baru itu membolehkan mereka menjalani kesemua pemeriksaan prakhidmat di bawah satu bumbung.
Anggota perkhidmatan SAF yang aktif pula diberikan akses kepada Pusat RHH yang menyatukan Pusat Perubatan dan Pergigian Pakar SAF, Pusat Pemeriksaan Kesihatan (HSP) dan Pusat Perubatan Mindef.
Ini merupakan pusat RHH yang kedua. Mindef sebelum ini berkata sebanyak enam Pusat RHH akan dibina di serata Singapura bagi menyepadukan perkhidmatan penjagaan kesihatan penting bagi anggota mereka.
Selain itu, antara kemudahan baru yang dilihat Berita Harian (BH) termasuk sebuah Pusat Penyesuaian Kecergasan (FCC) baru dalam ruang tertutup, yang membolehkan anggota NS berlatih tanpa mengira keadaan cuaca, hujan mahupun panas, lantas dapat memanfaatkan sepenuhnya masa bagi latihan berkenaan.
Sekitar 60,000 anggota NS disasarkan meraih manfaat daripada kemudahan itu yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti trek larian berbumbung agar dapat mempersiapkan diri untuk Ujian Kecergasan Jasmani Perseorangan (IPPT) dan Program Peningkatan Kecergasan NS (NS FIT).
Jadual bagi ujian IPPT dan NS FIT di CMPB itu sama seperti di pusat FCC lain di serata Singapura, kata Mindef.
Peralatan peribadi juga dapat diakses di cawangan ketiga Lifestylemart, selain di SAFRA Punggol dan The Chevrons di Jurong East.
Ini merupakan cawangan pertamanya yang dilengkapi dengan kios layan diri berteknologi pengenalan frekuensi radio (RFID), jadi pelanggan boleh membuat pembelian tanpa sebarang interaksi manusia.
Selain itu, terdapat lebih 20 gerai makanan, cawangan Cheers, kemudahan riadah luaran seperti padang bola dan laluan berlari-lari anak, serta pusat jagaan kanak-kanak Sunflower Preschool @ Hillview.
Kemudahan itu dibuka kepada orang awam.
Namun, pada masa ini, kebanyakan gerai makanan masih dalam proses mendapatkan sijil halal.
Encik Rifqi Aimar Hasni, 19 tahun, kagum dengan pengalaman yang dilalui di bangunan CMPB baru itu.
“Meskipun hanya menggunakan perkhidmatan di MCC setakat ini, kemudahan di CMPB baru ini lebih luas, moden dan semuanya lebih teratur,” katanya, yang baru menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat
Beliau menambah kemudahan dan perkhidmatan bersepadu di situ akan banyak membantu golongan sepertinya semasa tempoh NS nanti.
“Dengan semua sistem dihubungkan, ia dapat menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan yang timbul akibat proses pendaftaran yang sering mengelirukan.
“Ini secara tidak langsung memberi saya ruang untuk lebih fokus dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk NS nanti,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg