Pusat Harmoni akan memberi tumpuan kepada pengukuhan antara masyarakat Islam sedang ia menjalani pengubahsuaian sejajar Model Pusat Harmoni 3.0.
Pelancaran penuh bagi hala tuju dan operasi strategik baru dijangka dijadualkan pada 2026, menurut kenyataan media.
Perkara ini telah diumumkan di Majlis Makan Malam Berbilang Agama Pusat Harmoni yang diadakan pada 13 September 2023 di Masjid Assyakirin.
Bertemakan ‘Reimagining Harmony: Braving Our Future(s) Together’ (Memikirkan Semula Keharmonian: Bersama Kita Menghadapi Masa Depan), majlis resepsi itu diserikan tetamu terhormat Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.
Seramai 17 tenaga profesional dari pelbagai latar belakang dilantik sebagai ahli Kumpulan Kerja Masa Hadapan Berbilang Bangsa (Interfaith Futures Workgroup) yang diumumkan semasa majlis resepsi itu sebagai membantu dalam proses pembaharuan semula Pusat Harmoni.
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, bertindak sebagai penasihat kumpulan kerja ini.
Mereka yang dilantik pula bertindak sebagai penasihat untuk pembangunan rangka kerja Pusat Harmoni 3.0 yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan, trend, ruang dan struktur, penglibatan awam dan latihan perundingan pusat itu.
Dalam ucapannya, Dr Nazirudin berkata, beliau menantikan idea dan cadangan yang akan menyumbang kepada Pusat Harmoni yang baru pada 2026.
Beliau juga menekankan peranan penting yang dimainkan masyarakat berbilang agama dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu dan bergelora.
“Kedamaian dan keharmonian di Singapura sudah pasti merupakan aset yang berharga. Saya percaya masyarakat berbilang agama kita juga dapat menawarkan sesuatu di landskap dunia (hari ini) – melalui nilai-nilai yang dikongsi seperti sifat ihsan, empati dan sikap ingin mengambil berat terhadap orang lain.
“Jika dunia ini ingin ‘pulih’, kita memerlukan masyarakat berbilang agama untuk berada di barisan depan untuk memperjuangkan nilai-nilai tersebut dan untuk menjadi duta yang melambangkan nilai-nilai itu.
“Kebaikan hati dan nilai sejagat yang ada dalam agama-agama kita, memastikan rakyat kita selamat sewaktu wabak (koronavirus) yang berlaku baru-baru ini.”
Encik Alvin Tan mengucapkan tahniah kepada kumpulan kerja yang dilantik dan menekankan kepentingan sinergi dan usaha kumpulan berbilang agama tempatan dengan pembaharuan Pusat Harmoni.
Beliau berkata: “Bersama dengan Pusat Harmoni 3.0, MCCY akan melatih ‘Harmony Circles’ (Lingkaran Harmoni) kami. Melalui program ‘Harmony Circles’, para pemimpin dan anggota kumpulan akan lebih yakin apabila menangani isu-isu berbilang agama dan juga mengeratkan silaturahim.”
Enam masjid yang menerajui program pembelajaran dengan Pusat Harmoni turut mendapat pengiktirafan semasa majlis resepsi itu atas sumbangan mereka. Sekitar 120 tetamu menghadiri resepsi itu, termasuk pemimpin kumpulan antara agama, pemimpin masyarakat dan belia, penyelidik serta golongan sukarelawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg