Pusat Kapal Persiaran Singapura (HarbourFront) yang baharu telah mengendalikan lebih 720,000 penumpang sejak beroperasi sepenuhnya pada 15 Julai, memanfaatkan sistem automatik yang mampu menguruskan sehingga 18,000 penumpang yang berlepas setiap hari semasa waktu sibuk.

Sistem baharu berkenaan menyepadukan data masa nyata daripada pengendali feri dan kapal persiaran di setiap langkah perjalanan – daripada pendaftaran masuk penumpang hingga ke proses menaiki kapal.

Ini membolehkan syarikat pengendali dan Pusat Kapal Persiaran Singapura (SCC) meningkatkan penyelarasan serta menguruskan aliran penumpang dengan lebih baik.

Terminal berasingan itu, yang menggantikan terminal sebelum ini di HarbourFront Centre, direka untuk menjadikan pengalaman penumpang lebih lancar, kata Pengerusi SCC, Encik Loh Lik Peng.

Semasa berucap pada majlis pembukaan rasmi terminal berkenaan pada 22 September, beliau menyerlahkan pelbagai kemudahan di pusat tersebut termasuk laluan imigresen tanpa pasport, kios pendaftaran layan diri dan pusat penyerahan bagasi.

Kesemua lima pengendali feri – Batam Fast Ferry, Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry, Sindo Ferry dan Indo Falcon Shipping and Travel – mempunyai kaunter yang terletak di tingkat satu bangunan tersebut.

Sebelum ini, kaunter-kaunter berkenaan ditempatkan secara terpisah di dua tingkat berbeza di terminal lama.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian itu, berkata:

“Apabila corak perjalanan berubah, teknologi dan inovasi akan menjadi semakin penting dalam menjadikan pengalaman ini lebih lancar dan mudah.

“Terminal HarbourFront yang dinaik taraf ini mencerminkan komitmen tersebut – menggabungkan automasi dan penggunaan ruang secara bijak bagi meningkatkan pengalaman penumpang.”

Menyifatkan terminal itu sebagai “sangat selesa”, warga Batam, Encik Hasim, 45 tahun, berkata kemudahan baharu itu merupakan satu peningkatan yang amat ketara berbanding terminal lama.

Selain keadaannya yang kelihatan sangat bersih dan ceria, pekerja industri maritim itu berkata proses pendaftaran masuk dan menaiki kapal kini menjadi lebih cepat dan cekap.

Namun, beliau mempunyai satu rungutan – bangunan baharu tersebut terletak lebih jauh dari stesen MRT, meskipun ia bersambung dengan stesen HarbourFront.

“Sebelum ini jarak berjalan kaki lebih dekat, dan anda tidak perlu ke kawasan luar,” katanya.

Encik Roland Lim, 67 tahun, pula menyukai kemudahan penjualan makanan ringan sebelum berlepas, serta kemudahan mempunyai semua kaunter pengendali feri di tingkat bawah.

Pesara yang sedang dalam perjalanan ke Batam untuk bermain golf itu berkata: 

“Ia jauh lebih mudah berbanding dahulu. Jika anda selesa menggunakan perkhidmatan layan sendiri, pilihan itu juga ada. Saya sangat menghargai kemudahan yang begitu mesra pengguna ini.”