Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat kesejahteraan bersepadu baru tarik 4,800 pengunjung sejak April

Nov 2, 2025 | 4:19 PM
Pelajar dari Politeknik Singapura (SP) berkongsi dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, tentang satu projek yang menyokong kesejahteraan belia dan penjaga, sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan “Grovve”.
Pelajar dari Politeknik Singapura (SP) berkongsi dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, tentang satu projek yang menyokong kesejahteraan belia dan penjaga, sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan “Grovve”. - Foto NCSS

Sebuah pusat kesejahteraan bersepadu yang menawarkan khidmat sokongan kesihatan mental kepada golongan belia – termasuk perkhidmatan kaunseling, bengkel, serta ruang untuk mereka bergaul dengan rakan sebaya – telah menarik lebih 4,800 belia sejak ia mula beroperasi pada April 2025.

Pusat itu, dikenali sebagai Grovve dan terletak di *Scape, Orchard Road, telah menarik sekitar 80 peratus pengunjung berusia antara 17 dengan 25 tahun.

Ini dinyatakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, semasa pelancaran rasmi Grovve pada 1 November.

Merujuk kepada Kajian Mutu Hidup atau “Quality of Life Study” Majlis Kebangsaan Perkhidmatan Sosial (NCSS) 2025, Encik Masagos menekankan kepentingan kewujudan pusat kesejahteraan seperti Grovve.

Dapatan kajian menunjukkan sekitar 32 peratus rakyat Singapura berusia antara 18 dengan 29 tahun pernah mengalami gejala ringan kemurungan atau keresahan, dan 31 peratus lagi mengalami gejala sederhana,

Grovve menyediakan kemudahan buat belia dengan gejala masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.

Ia turut menyediakan bengkel kepada penjaga bagi mendalami pengetahuan tentang kesihatan mental serta menganjurkan aktiviti untuk membantu belia berinteraksi serta membina persahabatan dengan individu yang berkongsi minat.

“Grovve memupuk semangat ‘We-First’ dalam masyarakat – satu visi nasional untuk membentuk Singapura yang lebih bersatu padu, di mana rakyatnya mengutamakan kesejahteraan bersama berbanding kepentingan individu, serta memupuk rasa saling percaya dan tanggungjawab antara satu sama lain,” ujar Encik Masagos.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat yang bersikap ‘We-First’ atau ‘Kita Dahulu’ dibentuk melalui tiga fasa.

Ini termasuk nilai murni seperti empati dan tanggungjawab kewarganegaraan yang diasuh dari unit keluarga; budaya sukarelawan dan semangat menyumbang kembali kepada masyarakat; dan saling menghormati walaupun berbeza pandangan atau latar belakang, demi mewujudkan masyarakat yang inklusif.

Menurut Encik Masagos, Grovve mencerminkan semangat “Kita Dahulu” ini dengan menggabungkan pelbagai pihak, terutama belia, untuk memperluas kemudahan mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.

“Grovve menghimpunkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung. Dalam satu lawatan, anda boleh menghadiri sesi kaunseling dan kemudian menyertai aktiviti kesejahteraan,” jelas Encik Masagos.

Sebagai tambahan, Grovve turut berperanan menggalakkan belia mendapatkan bantuan awal supaya ia menjadi satu kebiasaan.

Ia menyediakan bengkel kepada ahli keluarga dan penjaga supaya mereka dapat menyokong perjalanan kesihatan mental belia, dengan matlamat mewujudkan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan usaha mendapatkan bantuan.

Pada peringkat rakan sebaya, Grovve menjadi ruang untuk belia mencari dan berkenalan dengan individu lain, melalui aktiviti seperti lukisan atau menyediakan minuman.

Salah satu daripada dua pod kedamaian, atau “peace pod” yang disediakan di pusat kesejahteraan Grovve untuk digunakan belia bagi tujuan berehat dan menenangkan diri.
Salah satu daripada dua pod kedamaian, atau “peace pod” yang disediakan di pusat kesejahteraan Grovve untuk digunakan belia bagi tujuan berehat dan menenangkan diri. - Foto NCSS

Belia juga boleh menjadi rakan sokongan di pusat itu dengan memberikan sokongan emosi dan menjadi pendengar yang prihatin kepada mereka yang memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg