Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Penjaja One Punggol rancang cari pengendali baru, tender dibuka Jan 2026

Dec 30, 2025 | 4:46 PM
Pusat Penjaja One Punggol (OPHC), Timbre + Hawkers, pengendali baru
Pengendali semasa Pusat Penjaja One Punggol (OPHC), Timbre + Hawkers, akan menamatkan tempoh penyewaannya pada 14 Ogos 2026. - Foto ST

Perancangan sedang dijalankan untuk mencari pengendali baru bagi Pusat Penjaja One Punggol (OPHC), yang kini diuruskan sebuah unit milik Timbre Group, syarikat yang mengendalikan perniagaan termasuk kedai makan dan lokasi ruang acara muzik.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dalam satu kenyataan pada 29 Disember, berkata tender akan dibuka pada Januari 2026 sebelum Timbre + Hawkers menamatkan tempoh pengendaliannya pada 14 Ogos 2026, iaitu setahun lebih awal daripada tarikh tamat kontrak tiga tahun yang dijadualkan.

NEA berkata Timbre + Hawkers tidak akan mengambil bahagian dalam tender yang akan datang, lapor The Straits Times (ST).

OPHC dibuka pada 31 Oktober 2022 dan mempunyai 31 peniaga, menurut maklumat di laman web pusat tersebut pada 29 Disember.

Timbre + Hawkers memperoleh kontrak pertama untuk mengendalikan pusat itu bermula September 2022 selama dua tahun.

Pada Ogos 2024 pula, ia menandatangani perjanjian kedua untuk mengendalikan pusat berkenaan selama tiga tahun sehingga Ogos 2027.

NEA berkata ia akan bekerjasama rapat dengan Timbre + Hawkers serta pengendali baru bagi mengurangkan kesan kepada peniaga gerai dan pelanggan sepanjang tempoh peralihan.

Tambahnya, pengendali baru akan dikehendaki mengekalkan semua peniaga sedia ada yang ingin meneruskan operasi mereka, sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Dalam tempoh tersebut, kadar sewa sedia ada akan kekal tidak berubah bagi tahun pertama, manakala sebarang perubahan selepas itu, jika ada, akan dihadkan mengikut kadar pasaran.

NEA turut menzahirkan kesediaannya untuk menyokong peniaga dan pelanggan, sambil terus menambah baik pusat penjaja perusahaan sosial agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 29 Disember, NEA berkata ia telah mengadakan sesi dialog bersama peniaga OPHC, Timbre + Hawkers serta Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang juga Anggota Parlimen (AP) Punggol GRC.

Tender yang bakal dibuka serta persoalan berkaitan peralihan, garis masa dan proses pertukaran pengendali antara isu yang dibincangkan dalam sesi tersebut.

NEA berkata peniaga turut dimaklumkan mengenai perubahan yang akan datang serta langkah-langkah yang disediakan bagi melindungi kepentingan mereka.

Dalam satu hantaran berasingan di Facebook pada 29 Disember, Dr Janil berkata Timbre, NEA dan pemimpin akar umbi Punggol Coast akan bekerjasama dengan para peniaga bagi menangani kebimbangan dan memastikan peralihan yang lancar.

Timbre + Hawkers turut mengendalikan sebuah lagi pusat penjaja perusahaan sosial berhampiran Yishun Park, yang menerima kritikan pada Ogos lalu antara lain, berhubung amalan pengurusan dan model sewa.

ST telah menghubungi Timbre + Hawkers untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg