Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat penyelidikan baru di Semakau ubah sisa, sampah jadi ‘harta’
Pusat penyelidikan baru di Semakau ubah sisa, sampah jadi ‘harta’
Usahasama NEA-NTU bernilai $35j sasar lanjut jangka hayat tapak pelupusan
Pusat penyelidikan baru di Semakau ubah sisa, sampah jadi ‘harta’
Satu-satunya tapak pelupusan sampah aktif Singapura di Pulau Semakau akan diberi nafas baharu dengan pelancaran sebuah pusat penyelidikan.
Matlamat pusat yang dikenali sebagai Towards Resource Efficiency And Sustainability for URban EnvironmentS (Treasures) itu adalah mengekstrak bahan bernilai daripada sisa buangan serta bahan toksik bagi industri pembinaan dan sektor lain, sekali gus membolehkan tapak pelupusan itu terus beroperasi untuk jangka masa lebih lama.
Pusat penyelidikan yang pertama seumpamanya dan ditubuhkan bersama oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu diumumkan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, pada 17 Jun.
“Program Treasures merupakan komitmen jangka panjang untuk menangani aliran sisa yang selama ini paling mencabar diuruskan,” kata Dr Janil ketika berucap pada acara perkhidmatan alam sekitar, Catalyst, di Marina Bay Sands.
Acara itu menghimpunkan kira-kira 300 pemimpin industri, penggubal dasar sejagat dan pihak berkepentingan lain dalam ekosistem tersebut.
“Nama pusat ini amat sesuai kerana bahan-bahan ini sukar dikitar semula.
“Namun, ia mempunyai nilai yang penting kepada industri apabila berjaya dipulihkan dan diuruskan dengan betul,” katanya.
Tapak pelupusan luar pesisir atau offshore itu dijangka mencapai kapasiti penuh sekitar 2035.
Unjuran tersebut akan disemak semula di bawah Pelan Induk Tanpa Sisa Singapura.
Idea utama projek itu adalah mengubah Tapak Pelupusan Semakau dengan mengenal pasti peluang pemulihan sumber, membangunkan teknologi serta menetapkan piawaian bagi mengguna semula bahan tersebut untuk tujuan lain.
Inisiatif itu disokong pembiayaan sebanyak $35 juta, di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 (RIE2025) Singapura, bagi tempoh antara 1 Januari dengan 31 Mac 2030.
Pengarah bersama Treasures, Encik Chu Jian, memberitahu The Straits Times (ST), pusat itu berpotensi meletakkan Singapura sebagai peneraju sejagat dalam pembangunan bandar mampan dan memaksimumkan penggunaan bahan.
Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar NTU itu berkata:
“Singapura berdepan cabaran unik yang mungkin tidak dihadapi banyak negara lain.
“Kami tidak akan mempunyai ruang untuk tapak pelupusan baru apabila Semakau mencapai kapasiti penuh.
“Oleh itu, kami perlu membangun penyelesaian sendiri mengenai cara memanfaatkan sisa di tapak pelupusan sedia ada serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar untuk pelupusan kepada sifar atau hampir sifar.”
Beliau menambah, visi jangka panjangnya adalah mengubah tapak pelupusan tersebut menjadi hab penyimpanan peralihan dan pemprosesan sambil memanjangkan jangka hayat tapak tersebut.
Treasures juga akan bekerjasama rapat dengan pengeluar sisa dan syarikat rawatan sisa untuk membangun penyelesaian serta mempercepatkan peralihan daripada penyelidikan makmal kepada pelaksanaan sebenar.
Di peringkat antarabangsa, pusat itu merancang menggalakkan perkongsian dan pertukaran pengetahuan menerusi kerjasama sejagat.
NEA menambah: “Usaha ini akan menyokong matlamat jangka panjang, termasuk mengubah Tapak Pelupusan Semakau bagi membolehkan pendekatan lebih mampan dan berasaskan ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa dan baki bahan, sambil mengurangkan kebergantungan kepada pelupusan sampah dari semasa ke semasa.”
Perkembangan itu berlaku ketika jumlah sisa yang dibuang di Singapura mencatat rekod tertinggi pada 2025, menurut perangkaan tahunan sisa Singapura.
Pemerintah turut mengumumkan rancangan menyemak semula Pelan Induk Tanpa Sisa Singapura 2030, yang menetapkan sasaran meningkatkan kadar kitar semula keseluruhan kepada 70 peratus dan mengurangkan jumlah sisa harian per kapita yang dihantar ke Tapak Pelupusan Semakau sebanyak 30 peratus.
Pusat itu juga melancarkan panggilan pertama bagi cadangan projek yang dapat memajukan penyelesaian praktikal dan boleh diperluas untuk pengurusan sisa serta bahan buangan industri toksik.
Permohonan geran tersebut, yang akan ditutup pada 5 petang, 17 Ogos, dibuka kepada semua institusi pengajian tinggi, institut penyelidikan dan syarikat.
Setakat ini, NTU telah menemui kaedah menukar abu pembakaran dan enap cemar kumbahan kepada sumber bernilai, selain menggabungkan sisa ke dalam bahan binaan.
Profesor Madya NTU, Encik Fei Xunchang, membayangkan kajian sekarang dan masa depan yang disokong pusat itu boleh menjadikan Tapak Pelupusan Semakau sebagai tapak untuk kegiatan penyimpanan dan pemprosesan yang berbeza, sekali gus berpotensi memanjangkan jangka hayatnya selama beberapa dekad.
Beliau menambah, pendekatan pengurusan sisa ini berpotensi diguna pakai oleh negara lain, yang mengendalikan atau merancang membangunkan tapak pelupusan luar pesisir, termasuk Jepun, Korea Selatan dan China.
Pusat itu juga akan bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) serta institusi pengajian tinggi lain.
Pemangku Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar NUS, Cik Karina Gin, berkata jabatan itu sejak dua dekad lalu, meneroka pelbagai strategi menyahtoksik dan menggunakan semula sisa tapak pelupusan.
Ini termasuk memanfaatkan komponen reaktif dalam aliran sisa dan menukarkannya kepada bahan mampan yang menyerupai simen.
Menurut beliau, pusat tersebut akan menjadikan banyak konsep penyelidikan sebagai penyelesaian praktikal yang boleh diperluaskan, dengan visi jangka panjang untuk memanjangkan penggunaan sisa tapak pelupusan, termasuk bahan lama yang kini tersimpan di Tapak Pelupusan Semakau.
“Dalam senario sedemikian, jangka hayat berkesan tapak pelupusan itu akan menjadi hampir tidak terhad,” katanya.
Sebuah pelan yang dikemas kini bagi membantu syarikat dalam sektor pembersihan, pengurusan sisa dan kawalan perosak untuk mengenal pasti serta mengguna pakai alat digital untuk menangani cabaran perniagaan, turut diumumkan pada 17 Jun.
Pelan itu juga menggabungkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang mampu menangani kekangan tenaga kerja dan memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Satu contoh adalah robot pembersih tandas yang dibangunkan syarikat robotik tempatan, Hivebotics, kata Dr Janil.
Mesin tersebut membolehkan petugas pembersihan di Our Tampines Hub (OTH) memberi tumpuan kepada kawasan yang memerlukan tenaga manusia dan jaminan mutu.
