Mulai 18 Disember Pusat Polis Kejiranan (NPC) Yishun North akan bergabung dengan pusat Yishun South.
Langkah itu merupakan pengerahan semula polis dan bertujuan mengumpulkan sumber dari pusat yang lebih kecil dan “berkaitan secara geografi” kepada pangkalan yang lebih besar, kata polis pada 22 November.
“Ini akan meningkatkan keupayaan kami menguruskan insiden pelbagai skala dan tahap kerumitan,” tambahnya.
Dengan NPC Yishun baru itu, jumlah balai polis di Singapura akan berkurang daripada 35 kepada 34, lapor The Straits Times.
Ia akan mengambil alih premis semasa NPC Yishun North di 31 Yishun Central.
NPC Yishun South di 32 Yishun Street 81 akan diubah menjadi Pos Polis Kejiranan Nee Soon South.
Pusat itu telah ditutup untuk ubah elok sejak Januari 2022, menurut laman web polis.
Pos Polis Nee Soon South yang ada sekarang di 798 Yishun Ring Road akan menjadi pos polis Khatib yang baru.
Kedua-dua pos polis tanpa petugas itu akan dilengkapi kios bantu diri yang disediakan sepanjang masa untuk penduduk mendapatkan perkhidmatan polis.
Polis pada 19 Februari 2024 berkata lapan pos polis baru akan dibina menjelang 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg