Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat ServiceSG baru dibuka di Woodlands, satu lagi akan dibuka di AMK pada 2026

Mar 15, 2025 | 6:25 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, di pusat ServiceSG yang baru di Pusat Sivik Woodlands pada 15 Mac.
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, di pusat ServiceSG yang baru di Pusat Sivik Woodlands pada 15 Mac. - Foto ST

Sebuah pusat ServiceSG baru telah dibuka secara rasmi di Woodlands, memberikan penduduk di sana akses kepada lebih 600 perkhidmatan pemerintah yang berbeza.

Terletak di Pusat Sivik Woodlands, pusat ini adalah yang kesembilan dibuka di Singapura sejak 2021.

Pusat ServiceSG menyediakan akses kepada perkhidmatan yang disediakan oleh 25 agensi pemerintah yang berbeza.

Perkhidmatan itu termasuk menetapkan semula akaun Singpass, memfail borang cukai, dan pembaharuan pasport, lapor The Straits Times (ST).

Berucap semasa pembukaan rasmi pusat itu pada 15 Mac, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata pusat ServiceSG sebahagian daripada komitmen perkhidmatan awam untuk memastikan rakyat Singapura ada akses kepada perkhidmatan pemerintah meskipun terdapat dorongan pendigitalan.

“Kami akan sentiasa mempunyai pusat ServiceSG untuk menjaga mereka yang tidak dapat mengakses perkhidmatan secara digital, atau mereka yang mempunyai kes rumit dan memerlukan lebih banyak panduan,” katanya.

Encik Chan, yang juga Menteri Pendidikan, turut mengumumkan satu lagi pusat ServiceSG akan dibuka di pusat bandar Ang Mo Kio pada separuh pertama 2026.

Pusat di Woodlands mencatatkan purata 5,500 urus niaga sebulan sejak dibuka, tertinggi dalam kalangan pusat ServiceSG di Singapura.

Ia mempunyai bilangan agensi pemerintah terbesar beroperasi di lokasi yang sama, dengan pegawai Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) turut beroperasi di situ.

Terdapat juga kemudahan sidang video untuk membolehkan interaksi bersama agensi pemerintah yang tiada pegawai di lokasi.

Festival Kerja e2i juga diadakan di Pusat Sivik Woodlands pada 15 Mac, dengan 10 syarikat dan pertubuhan, seperti rangkaian makanan segera McDonald’s dan Exceltec Property Management, turut serta.

Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, Cik Hany Soh, dan Encik Zaqy Mohamad, serta AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, turut menghadiri acara tersebut.

Dalam pada itu, satu memorandum persefahaman (MOU) antara e2i dan Politeknik Singapura turut ditandangani di acara itu.

Perjanjian tersebut bertujuan membekalkan kaunselor serta jurulatih pendidikan dan bimbingan di politeknik itu dengan sumber e2i dan alat digital berkuasa kecerdasan buatan (AI).

Ia adalah bagi membantu pemohon kerja menyiapkan resume atau dokumen pencapaian akademik dan sejarah kerja kukuh serta meningkatkan kemahiran temu duga mereka semasa memohon pekerjaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg