Sejak membuka pusat tuisyennya pada 2018, Encik Mohamed Fathurahman Mohamed Nasir, menyaksikan trend meningkat dalam kalangan pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental.
Justeru, beliau memastikan pusat tuisyennya, Learn With Fathur, yang terletak di Hougang Street 21, menyediakan ruang dan persekitaran selamat bagi setiap murid untuk bukan sahaja belajar, malah berkongsi masalah yang mereka hadapi di luar suasana bilik darjah.
Encik Mohamed Fathurahman, 33 tahun, berkata pusatnya telah melihat peningkatan sebanyak 80 peratus pelajar yang dipercayai mengalami masalah mental.
“Saya akan memastikan kelas memiliki suasana yang mesra. Dengan suasana sedemikian, murid-murid akan berasa selesa dengan saya dan mereka akan melihat saya sebagai orang yang mereka boleh berkongsi masalah mereka.
“Dari situ, saya boleh memberi mereka nasihat,” kongsi bapa seorang anak itu.
Usahanya selaras dengan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kebangsaan yang bermatlamat membentuk ekosistem kesihatan mental yang berkesan, terdiri daripada penjagaan klinikal yang mudah diakses dan bermutu tinggi dengan masyarakat yang menyokong.
Dalam pada itu, Encik Mohamed Fathurahman, membenarkan muridnya meluangkan masa sebanyak mungkin di pusat tuisyen beliau untuk membuat ulang kaji tambahan.
Jika mereka berada lewat di situ, beliau akan membelikan makan malam untuk muridnya.
“Disebabkan ramai di antara mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat motivasi untuk belajar di rumah, saya cuba untuk mencipta suasana mesra di pusat tuisyen saya supaya mereka dapat dorongan dan motivasi untuk mengulang kaji pelajaran,” ujar beliau.
Salah satu cara untuk membuat mereka berasa selesa berkomunikasi dan suasana belajar yang tidak tertekan, Encik Mohamed Fathurahman, sering berkongsi kisah kehidupannya dan menyelitkan jenaka semasa mengajar.
Beliau turut menerapkan kepada empat tenaga pengajarnya yang lain tentang peri pentingnya menyediakan sekitaran belajar yang menyokong pelajar tidak kira apa latar belakang mereka.
Di luar kelas pula, Encik Mohamed Fathurahman, mengatur kegiatan luar bersama mereka bagi mengukuhkan hubungan dengan keizinan ibu bapa murid beliau.
Ternyata, masalah akademik, keluarga dan persahabatan adalah antara kebimbangan yang membelenggu fikiran murid beliau.
“Ada yang bertengkar dengan ibu bapa mereka, ada yang melarikan diri dari rumah, mengikut tabiat yang buruk dan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak elok,” kongsi Encik Mohamed Fathurahman.
Lantas, beliau akur bahawa mereka tidak seharusnya memikul beban itu sendiri apatah lagi dalam usia muda.
“Mereka memerlukan seorang big brother (abang) supaya mereka boleh berkongsi masalah mereka dengan saya.
“Saya akan berada di sisi mereka untuk mereka luahkan isi hati mereka dan menjadi telinga yang mendengar.
“Saya percaya bahawa remaja kini memerlukan seseorang yang hadir untuk mereka, untuk diberikan contoh cara mereka boleh menghadapi arus kehidupan, mengawal emosi berdasarkan masalah yang mereka hadapi, dan menangani masalah di rumah, di sekolah dan di luar sekolah.
“Jadi, murid-murid saya ini, terutamanya remaja, memerlukan nasihat secara berkala,” ujar Encik Mohamed Fathurahman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg