Hampir 100 remaja berusia antara 13 dengan 17 tahun telah meraih manfaat daripada program pemeriksaan kesihatan mental yang dilancarkan di kesemua sembilan poliklinik kendalian National Healthcare Group (NHG).
Program Penilaian Remaja dan Rawatan Pantas Kesihatan Mental, atau Alert, kali pertama dijalankan di Poliklinik Hougang pada November 2021.
Ia kemudian disediakan di semua poliklinik NHG sejak April 2023.
Mereka yang menunjukkan kemungkinan tanda-tanda masalah kesihatan mental disaring semasa perundingan doktor biasa mereka, lapor The Straits Times.
Dr Eugene Chua, ketua bersama program kesihatan mental National Healthcare Group Polyclinics (NHGP), berkata golongan muda mengalami banyak peralihan.
Secara biologi, katanya, mereka sedang mengalami akil baligh, yang membawa kepada perubahan fizikal dan hormon yang bagi sesetengah orang, boleh menimbulkan kerisauan.
Dari segi psikososial, remaja sedang mengembangkan identiti peribadi dan mencari penerimaan daripada rakan sebaya dan masyarakat.
Jika tekanan ini tidak diuruskan dengan betul, golongan muda boleh menghadapi risiko kesihatan mental.
Dr Chua berkata beberapa tanda remaja yang mengalami masalah kesihatan mental termasuk mereka yang kerap datang ke poliklinik untuk masalah seperti sakit kepala, sakit dada dan sakit perut.
Mereka yang berulang kali ke poliklinik mungkin disaring di bawah program, Alert.
Satu lagi kumpulan anak muda yang disaring adalah mereka yang mengesyaki mempunyai keadaan kesihatan mental, seperti kemurungan atau kebimbangan.
Mereka yang mengikuti program, Alert, akan bekerjasama dengan pakar perubatan keluarga dan pekerja sosial perubatan dalam pelan penjagaan peribadi dalam tempoh enam bulan.
Pakar perubatan keluarga akan menguruskan simptom biologi atau akut anak muda itu, manakala pekerja sosial perubatan menjaga kesejahteraan emosinya melalui sesi kaunseling.
Dalam tempoh setengah tahun ini, penilaian psikososial akan dijalankan untuk lebih memahami struktur sokongan yang dimiliki oleh anak muda itu, termasuk keluarga, rakan dan hobinya.
Mereka kemudian akan menjalani tiga atau empat sesi kaunseling untuk menangani masalahnya dan mempelajari bagaimana emosi boleh mempengaruhi tubuh.
Di luar poliklinik, pekerja sosial perubatan juga akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi masyarakat seperti Pusat Khidmat Keluarga (FSC) atau sekolah.
Program enam bulan itu adalah percuma untuk remaja, tetapi mereka perlu membayar $8.10 bagi setiap lawatan rundingan dengan doktor.
Apabila dinilai bahawa keadaan mereka telah bertambah baik, dan mereka mampu menguruskan tekanan, remaja tersebut boleh meninggalkan program ini.
Mereka akan diberi petua tentang cara mengekalkan kesihatan mental yang baik.
Mereka yang memerlukan bantuan lanjut boleh dirujuk kepada pakar.
Menjawab soalan sama ada ibu bapa akan dimaklumkan bahawa anak mereka telah menyertai program itu, Dr Chua berkata jika golongan muda itu menunjukkan bahawa mereka tidak mahu ibu bapa terlibat, pilihan akan dihormati.
Namun, jika pesakit berada dalam bahaya dan sedang berfikir untuk membunuh diri, misalnya, doktor akan bekerjasama dengannya untuk sekurang-kurangnya memaklumkan seorang dewasa yang dipercayai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg