Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap bas persiaran yang meletakkan kenderaan secara haram di sepanjang jalan raya.
Ini selepas satu “pusat tukaran” bas persiaran sementara di Tuas didapati mengganggu perniagaan berhampiran dan turut menjadi tumpuan baru-baru ini.
Beberapa syarikat di Tuas Link 2 telah menyatakan kebimbangan mereka, lapor The Straits Times (ST) yang menukil laporan CNA pada 6 Ogos.
Menurut mereka, bas koc besar yang membawa pelancong dari Malaysia ke Singapura telah menghalang pintu masuk ke perniagaan mereka dan mewujudkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan.
Pelancong juga dilaporkan membuang air kecil di tempat terbuka dan meninggalkan sampah berselerakan di sekitar kawasan itu.
“LTA memandang serius terhadap bas persiaran yang meletak kenderaan secara haram di sepanjang jalan, kerana ia mungkin menghalang aliran lalu lintas, menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain dan menyebabkan rasa tidak senang dalam masyarakat,” kata seorang jurucakap pada 19 Ogos.
“Kami akan terus mengambil tindakan terhadap pemandu yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.”
Dalam hantaran di Facebook pada 7 Ogos, LTA menyatakan 25 bas persiaran dan koc telah dikenakan tindakan atas kesalahan meletak kenderaan secara haram di sekitar Tuas Link 2 semasa operasi penguatkuasaan bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Pengarah Urusan, pembekal jentera berat, Sia & Yeo Heavy Equipment di Tuas Link 2, Encik Sia Keok Muie, memberitahu ST bahawa bas persiaran itu menghalang jalan di luar syarikatnya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan baru-baru ini.
Apabila pelancong berpindah dari satu bas ke bas lain, ada antara mereka yang meninggalkan sampah di situ sehingga mengundang banyak burung gagak, malahan ada pelancong yang turut membuang air kecil di tepi jalan, tambah beliau.
Encik Dominic Ong, pengerusi Persatuan Nasional Ejen-ejen Pelancongan Singapura (Natas) bagi pengangkutan masuk dan darat, memberitahu ST bahawa Tuas Link 2 telah menjadi zon pemindahan bas tidak rasmi bagi pelancong dari Kuala Lumpur ke Singapura sejak sedekad lalu.
Menurut beliau, “senario terbaik” adalah mempunyai “terminal bas yang betul setara dengan Singapore Cruise Centre dan terminal lapangan terbang”, yang mempunyai bangunan dengan kaunter jualan tiket, medan selera, tandas dan tempat letak kereta yang luas untuk bas dan van tiba, menyambut dan berangkat.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memberitahu ST pada 19 Ogos bahawa ia sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mencari aturan alternatif jangka panjang bagi pelawat yang memasuki Singapura dengan menaiki syarikat bas pelancongan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg