Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Mahkota Brunei di S’pura hadiri Program Pemimpin Muda

Sep 10, 2024 | 8:00 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman (kanan), menyambut ketibaan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, di Singapura pada 10 September bagi memulakan rangka lawatan rasmi lima hari untuk menghadiri Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-10.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman (kanan), menyambut ketibaan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, di Singapura pada 10 September bagi memulakan rangka lawatan rasmi lima hari untuk menghadiri Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-10. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, tiba di Singapura pada 10 September bagi memulakan rangka lawatan rasmi lima hari bagi menghadiri Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-10.

Ketibaan beliau, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, di Kompleks VIP Lapangan Terbang Changi disambut Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, pada 10 September.

Dalam satu hantaran Facebook pada 10 September, Dr Maliki berkongsi kali terakhir beliau bertemu Putera Mahkota Brunei adalah semasa lawatan Hari Raya ke Brunei pada April 2024.

Beliau berkata: “Tahun ini (2024) menandakan titik pencapaian penting bagi YLP, iaitu satu wadah berharga bagi pertukaran idea dan membina hubungan kukuh antara pemimpin kita.

“Dengan memperkukuhkan hubungan sedemikian, ia merupakan kunci bagi memupuk kerjasama lebih utuh dan memastikan perkongsian kita kekal kukuh untuk generasi mendatang.”

YLP kali ini bakal menyaksikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjadi tuan rumah kepada Putera Al-Muhtadee Billah bagi program tersebut buat kali pertama sejak menjadi Perdana Menteri.

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong pernah mengetuai satu delegasi Singapura ke Brunei untuk menghadiri edisi kesembilan program tersebut pada Disember 2023, lapor The Straits Times.

Di samping menghadiri YLP, Putera Mahkota Brunei akan dihoskan secara berasingan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi; Encik Wong dan isterinya, Cik Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan isterinya, Cik Lee; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; dan beberapa menteri lain, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Selain bertemu pemimpin Singapura, delegasi Brunei akan melawat Sidang Puncak JTC, sebuah ruang pejabat di Daerah Tasik Jurong, dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Askar (CESP), sebuah tempat di Loyang yang meneliti cara membangunkan potensi askar untuk bertempur.

Delegasi tersebut akan turut melawat Politeknik Temasek dan Pulau Sentosa.

Putera Mahkota Brunei diiringi delegasi Brunei termasuk Menteri Pertahanan II Brunei, Mejar Jeneral (MG) Awang Halbi Md Yussof; Menteri Pembangunan, Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda Haji Abdul Rashid; serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Encik Shamhary Mustapha.

Delegasi tersebut turut merangkumi pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri, dan Kementerian Ehwal Luar, Pelancongan dan Pendidikan Brunei.

Putera Al-Muhtadee Billah ditemani isterinya, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; serta anak mereka, Putera Muhammad Aiman, sembilan tahun; dan Puteri Faathimah Az-Zahraa’, enam tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg