Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Mahkota Brunei lawat S’pura mulai 10 Sep

Sep 9, 2024 | 9:00 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), disambut Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, semasa lawatannya ke Brunei pada 11 Jun 2024.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), disambut Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, semasa lawatannya ke Brunei pada 11 Jun 2024. - Foto MDDI

Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, sedang melakukan lawatan rasmi lima hari ke Singapura mulai 10 September untuk menghadiri Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-10.

Buat kali pertama sejak beliau menjadi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menjadi tuan rumah kepada Putera Al-Muhtadee Billah bagi program tersebut.

Ia merupakan sebuah wadah utama bagi pemimpin muda Singapura dan Brunei menjalin hubungan dua hala dan meneroka pelbagai bidang kerjasama baru.

Ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong, pernah mengetuai satu delegasi Singapura ke Brunei untuk menghadiri edisi kesembilan program tersebut pada Disember 2023, lapor The Straits Times (ST).

Semasa lawatannya, Putera Al-Muhtadee Billah akan dihoskan secara berasingan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam; Encik Wong dan isterinya, Cik Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan isterinya, Cik Lee; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; dan beberapa menteri lain, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Delegasi Brunei yang melawat Singapura termasuk Menteri Pertahanan II Brunei, Mejar Jeneral (MG) Awang Halbi Md Yussof; Menteri Pembangunan, Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Encik Shamhary Mustapha; dan pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, dan kementerian ehwal luar, pelancongan dan pendidikan Brunei.

Selain bertemu pemimpin Singapura, delegasi Brunei akan melawat Sidang Puncak JTC, sebuah ruang pejabat di Daerah Tasik Jurong, dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Askar (CESP), sebuah tempat di Loyang yang meneliti cara membangunkan potensi askar untuk bertempur.

Delegasi tersebut akan turut melawat Politeknik Temasek dan Pulau Sentosa.

Putera Al-Muhtadee Billah akan ditemani isterinya, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta anak mereka – Putera Muhammad Aiman, sembilan tahun, dan Puteri Faathimah Az-Zahraa’, enam tahun.

Pada 2024, Singapura dan Brunei meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kededua negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg