Qantas buka pangkalan kru kabin di S’pura mulai Sep
Syarikat penerbangan Australia itu sasar 650 kru kabin di S’pura dalam tempoh lima tahun
Buat pertama kali, Qantas akan menempatkan pangkalan kru kabin di Singapura mulai September, satu langkah yang dijangka meningkatkan jumlah kru kepada 650 dalam tempoh lima tahun.
Syarikat penerbangan nasional Australia ini merancang untuk merekrut 120 kru tempatan pada tahun pertama.
Langkah ini sebahagiannya melibatkan penutupan pangkalan Jetstar Airways di Singapura, anak syarikat tambang rendah Qantas, bagi “memperkemas model operasi tambang rendahnya”.
Sebahagian kru Jetstar akan dipindahkan.
Kru kabin Qantas yang berpangkalan di Singapura akan mengendalikan penerbangan antara Singapura dengan Australia. Mereka juga akan ditawarkan gaji yang kompetitif. Jawatan itu terbuka kepada rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qantas International, Encik Cam Wallace, berkata pangkalan kru kabin baru ini akan meningkatkan kecekapan operasi rangkaian antarabangsa yang semakin berkembang dan membolehkan tindak balas pantas terhadap gangguan penerbangan.
Singapura kini merupakan hab antarabangsa terbesar Qantas di luar Australia dan yang ketiga terbesar secara keseluruhan, selepas Sydney dan Melbourne.
Qantas menjangka akan menawarkan jawatan kepada sekitar 50 kru kabin Jetstar Airways yang kini berpangkalan di Singapura. Selain itu, bekas kru kabin Jetstar Asia, yang menghentikan operasi pada Julai 2025, juga boleh memohon.
Penubuhan pangkalan ini selari dengan pengumuman Qantas untuk menggandakan penggunaan pesawat dua tingkat Airbus A380 bagi perkhidmatan Singapura-Sydney.
Dengan kapasiti keseluruhan 485 tempat duduk, pesawat itu akan digunakan bagi 13 daripada 14 penerbangan mingguan antara kedua-dua bandar mulai 7 Disember, manakala baki satu penerbangan mingguan akan terus dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A330 yang lebih kecil.

