Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

QuranSG kembali bagi tahun ketiga dengan fokus pada ‘tadabbur’

Jul 31, 2025 | 4:40 PM
QuranSG 2025, Dr Nazirudin Nasir
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Nasir, menyampaikan ucaptama dan takzirah sempena pelancaran QuranSG 2025 di Masjid Darul Makmur pada 26 Julai. - Foto MUIS

QuranSG 2025 kembali bagi tahun ketiga dengan lebih banyak inisiatif untuk mengasuh pemahaman dan penghargaan masyarakat terhadap Al-Quran secara lebih mendalam, melalui tilawah (bacaan), tahfiz (hafalan) dan program yang mudah diakses.

Ia dilancarkan sempena acara perayaan keluarga di Masjid Darul Makmur pada 26 hingga 27 Julai. 

Terdapat kegiatan kaligrafi bahasa Arab oleh Ustaz Ammar Mustafa dan sesi klinik bacaan Al-Quran, demikian menurut kenyataan media oleh jawatankuasa QuranSG 2025 pada 26 Julai.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan), berinteraksi dengan artis kaligrafi bahasa Arab, Ustaz Ammar Mustafa, sempena acara perayaan keluarga QuranSG 2025 di Masjid Darul Makmur pada 26 Julai.
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan), berinteraksi dengan artis kaligrafi bahasa Arab, Ustaz Ammar Mustafa, sempena acara perayaan keluarga QuranSG 2025 di Masjid Darul Makmur pada 26 Julai. - Foto MUIS

Kempen bagi 2025, yang dianjurkan oleh masjid Singapura, Pejabat Mufti dan Sektor Satu Masjid Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menekankan tadabbur, iaitu proses pentafsiran dan renungan terhadap pengajaran dan bimbingan ayat-ayat Al-Quran.

Antara inisiatif baru adalah ‘Pertandingan Rakaman TadabburSG 2025’ bertema ‘Renungan Al-Quran Saya – Bagaimana ia membentuk kehidupan saya’.

Pertandingan tahun ini dipertingkatkan dengan Tadabbur Playbook, sumber dalam talian yang memberi para peserta enam topik sebagai bimbingan untuk menjana rakaman masing-masing.

Mulai sekarang sehingga 30 September 2025, para peserta boleh menyertai pertandingan itu secara individu atau berkumpulan untuk berkongsi pentafsiran Al-Quran melalui rakaman sepanjang tiga minit.

Sekumpulan penilai akan memilih sumbangan yang terbaik lalu mengadakan undian awam untuk memilih pemenangnya pada Oktober 2025.

Juara pertandingan akan menang wang $3,500 manakala naib juara akan menang $2,500. Tempat ketiga akan menang $1,500 pula.

Para pemenang juga akan menerima sijil dan plak, serta peluang untuk menyertai saluran SalamSG.

Terdapat juga Tadabbur Note, laman web untuk masyarakat berkongsi renungan dan wawasan daripada Al-Quran.

Dr Nazirudin berkongsi ‘tadabbur’ peribadinya. Beliau menyatakan dalam ‘tadabbur’ tersebut: “Al-Quran menggalakkan renungan dan tindakan supaya kita jadi ihsan yang terbaik melalui kelakuan kita, bukan pemikiran dan percakapan kita.”
Dr Nazirudin berkongsi ‘tadabbur’ peribadinya. Beliau menyatakan dalam ‘tadabbur’ tersebut: “Al-Quran menggalakkan renungan dan tindakan supaya kita jadi ihsan yang terbaik melalui kelakuan kita, bukan pemikiran dan percakapan kita.” - Foto MUIS

Selain itu, dari Ogos hingga November 2025, asatizah dan anggota masyarakat daripada beberapa masjid akan turut memuat naik rakaman dan podcast yang berkongsi pentafsiran Al-Quran yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan seharian orang ramai.

Inisiatif mingguan ini bertujuan mengukuhkan kehadiran digital kempen QuranSG 2025 serta memastikan kempen tersebut diketahui lebih ramai orang. 

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir turut hadir di Masjid Darul Makmur sempena acara perayaan keluarga pada 26 Julai untuk melancarkan QuranSG 2025.

Dalam ucaptamanya, Dr Nazirudin menekankan kepentingan tadabbur dalam pengajian kontemporari Islam: “Ini memastikan kita dapat hidup dengan baik dan dalam keadaan aman dan harmoni, terutamanya dalam konteks Singapura. Itulah makna di sebalik QuranSG. 

“Sempena itu, kita menghindari kebahayaan dan kemudaratan kepada diri kita, keluarga kita, dan masyarakat kita di dunia ini dan di akhirat. Itulah hasil tadabbur.”

Untuk melibatkan lebih ramai orang, QuranSG 2025 akan mengadakan jerayawara (‘roadshow’) di beberapa masjid dari 25 Julai hingga 29 September.

Ini termasuk tilawah Surah Al-Kahfi di beberapa masjid terpilih oleh Qari tempatan yang pernah menjuarai Majlis Tilawah,Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ), yang akan diadakan selama sembilan minggu.

Sesi akan berlangsung setiap minggu sebelum solat Jumaat pada 12 hingga 12.45 tengah hari dan juga boleh dihadiri melalui laman Facebook masjid masing-masing.

Pelancaran QuranSG 2025 juga sempena dengan pusingan kelayakan kategori tilawah pertandingan MTTTQ, yang bertujuan memupuk minat bacaan Al-Quran dan mencari bakat untuk mewakili Singapura dalam pertandingan bacaan Al-Quran antarabangsa di Malaysia.

Pusingan terakhir pertandingan MTTTQ akan berlangsung di acara perayaan keluarga yang kedua sempena QuranSG 2025 di Masjid Sultan pada 20 hingga 21 September.

Para peserta muda dalam pertandingan Majlis Tilawah,Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ). Pertandingan itu bertujuan memupuk minat terhadap bacaan Al-Quran dan mencari bakat untuk mewakili Singapura dalam pertandingan bacaan Al-Quran antarabangsa di Malaysia. Pada 2025, terdapat peningkatan lebih 20 peratus dalam bilangan peserta bagi kategori tilawah dan peningkatan 60 peratus bagi kategori tahfiz, jika dibandingkan dengan 2024.
Para peserta muda dalam pertandingan Majlis Tilawah,Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ). Pertandingan itu bertujuan memupuk minat terhadap bacaan Al-Quran dan mencari bakat untuk mewakili Singapura dalam pertandingan bacaan Al-Quran antarabangsa di Malaysia. Pada 2025, terdapat peningkatan lebih 20 peratus dalam bilangan peserta bagi kategori tilawah dan peningkatan 60 peratus bagi kategori tahfiz, jika dibandingkan dengan 2024. - Foto MUIS
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg