Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha gigih perintis, sukarelawan Masjid An-Nur dirai dalam majlis makan malam gala

Sumbangan penting bentuk masjid jadi institusi makmur, cemerlang sebagai pusat pembelajaran Islam dan pembangunan sosial
Jul 28, 2025 | 9:21 PM
Masjid An-Nur, buku, ulang tahun
Masjid An-Nur menyambut ulang tahun ke-45 dengan acara makan malam Gala serta pelancaran buku peringatan berjudul ‘Cahaya Menara Biru’ pada 26 Julai di The Grand Ballroom, Grand Hyatt Singapore. Antara yang hadir semasa acara tersebut termasuk (dari kiri) Ustaz Muhammad Zuhaili; Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh; Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman; Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Putra Ahmad Ali; dan Bendahari Kehormat Masjid An-Nur, Encik Salim Ahmad. - Foto MASJID AN-NUR

Masjid An-Nur menyambut ulang tahun ke-45 dengan mengadakan satu acara makan malam gala dengan tema ‘45 Tahun Bersama Masyarakat – Berkhidmat Dengan Keyakinan dan Keihsanan’ di The Grand Ballroom, Grand Hyatt Singapore, pada 26 Julai lalu.

Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim, berkata acara tersebut menghargai usaha gigih para perintis, kepimpinan dahulu, sukarelawan, rakan komuniti dan penyumbang masjid berkenaan.

Sumbangan golongan ini, jelasnya, penting dalam membentuk Masjid An-Nur menjadi institusi yang makmur dan cemerlang sebagai pusat pembelajaran Islam dan pembangunan sosial.

Dengan pencapaian sedemikian, sebuah buku bacaan santai, atau ‘coffee table book’, sebagai tanda peringatan sejarah yang tercipta dan sumbangan yang dijana, berjudul Cahaya Menara Biru, telah diterbitkan.

Sebuah jawatankuasa khas seramai enam orang telah dibentuk bagi projek penerbitan buku ini.

Bendahari Kehormat Masjid An-Nur, Encik Salim Ahmad, yang merupakan antara ahli jawatankuasa penerbitan buku dan penasihat penerbitan buku itu, berkata:

“Buku ini mengumpulkan kisah-kisah sejarah dan perkembangan Masjid An-Nur sejak mula ditubuhkan sehingga kini.

“Diharapkan buku ini juga dapat menjadi rujukan sejarah Masjid An-Nur dan juga inspirasi bagi generasi baru dan kepimpinan muda untuk teruskan legasi golongan perintis dan menyumbang bakti ikhlas kepada masyarakat.”

Persembahan silat oleh belia Masjid An-Nur di bawah perguruan Si Rumpun Padi sempena sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur di acara Makan Malam Gala ke-45 pada Sabtu, 26 Julai 2025.
Persembahan silat oleh belia Masjid An-Nur di bawah perguruan Si Rumpun Padi sempena sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur di acara Makan Malam Gala ke-45 pada Sabtu, 26 Julai 2025. - Foto MASJID AN-NUR
Persembahan oleh kanak-kanak daripada Tadika Masjid An-Nur sempena sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur di acara Makan Malam Gala ke-45 pada Sabtu, 26 Julai 2025.
Persembahan oleh kanak-kanak daripada Tadika Masjid An-Nur sempena sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur di acara Makan Malam Gala ke-45 pada Sabtu, 26 Julai 2025. - Foto MASJID AN-NUR

Pada acara makan malam itu, cek bernilai $20,000 turut disampaikan Masjid An-Nur kepada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).

Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk memperolehi mesin dialisis ginjal.

Tetamu terhormat majlis itu ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Anugerah Pelajar Cemerlang Nur Kasih juga disampaikan kepada 10 pelajar.

Sembilan pelajar menerima anugerah daripada pihak Masjid An-Nur, Encik Juraiman; Naib Pengerusi 1 Kehormat Masjid An-Nur, Encik Muhamad Azrin Abdullah dan Setiausaha Kehormat, Encik Abdul Ghani Abdul Jabar.

Satu dari sepuluh anugerah itu khas ditaja oleh MTFA dan disampaikan oleh Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah.

Anugerah tersebut diberikan kepada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, menyumbang kepada masyarakat dan mempunyai watak mulia.

Penerima sekolah menengah menerima $2,000 manakala pelajar peringkat prauniversiti atau politeknik akan meraih $3,000 seorang.

Mahasiswa pula menerima $5,000 seorang.

Majlis makan malam tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan silat oleh belia Masjid An-Nur di bawah perguruan Si Rumpun Padi dan bacaan ayat Al-Quran oleh qari Singapura, Ustaz Nor Muhammad Ali.

Turut membuat persembahan ialah kanak-kanak Tadika Masjid An-Nur serta penyanyi Art Fazil dan kumpulan Sri Mahligai.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Sa’at A. Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar; Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh, serta tokoh masyarakat yang pernah bersama-sama membangunkan Masjid An-Nur.

Bagi tahun-tahun selanjutnya, Masjid An-Nur akan memberi tumpuan kepada usaha mendampingi golongan belia dan warga emas untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Naib Pengerusi 2 Kehormat Masjid An-Nur, Encik Qamarul Zaman Husin, berkata:

“Masjid An-Nur adalah nadi masyarakat yang boleh mencorak kehidupan keagamaan masyarakat yang harmoni dan progresif.”

Encik Juraiman berkata:

“Kami juga akan terus pertingkatkan mutu khidmat, program pembangunan insan, menyempurnakan segala peralatan dan kemudahan di dalam masjid demi keselesaan dan keselamatan jemaah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg