Rahayu: Pengurangan kos MOH tidak jejas mutu penjagaan pesakit
Rahayu: Pengurangan kos MOH tidak jejas mutu penjagaan pesakit
Meskipun unjuran perbelanjaan operasi Kementerian Kesihatan (MOH) bagi tahun kewangan 2025 disemak turun $310 juta, ia tidak menjejaskan mutu penjagaan pesakit. Demikian penjelasan Menteri Negara Kesihatan, Cik Rahayu Mahzam, di Parlimen pada 4 Mac, sebagai respons kepada pertanyaan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Gerald Giam.
Pengurangan itu, kata Cik Rahayu, terutamanya didorong kos operasi di kelompok penjagaan kesihatan awam yang lebih rendah daripada jangkaan. Encik Giam sebelum itu mempersoalkan penyemakan turun ini, memandangkan perbelanjaan sepatutnya meningkat seiring dengan permintaan penjagaan yang didorong populasi yang semakin menua.
MOH kini mengunjurkan perbelanjaan operasinya bagi tahun kewangan 2025 sebanyak $18.49 bilion, iaitu $310 juta lebih rendah daripada anggaran awal $18.80 bilion. Pengurangan 1.6 peratus ini, kata Cik Rahayu, masih dalam julat varians belanjawan yang diterima.
Walaupun demikian, perbelanjaan operasi kementerian dijangka terus meningkat, dengan anggaran semula $1.63 bilion (9.7 peratus) lebih tinggi berbanding perbelanjaan sebenar tahun kewangan 2024.
“Trend peningkatan ini akan berterusan, seperti yang ditunjukkan oleh anggaran perbelanjaan operasi tahun kewangan 2026 sebanyak $20.04 bilion,” jelas Cik Rahayu.
Apabila diminta penjelasan lanjut tentang punca kos yang lebih rendah, Cik Rahayu menyatakan ia adalah hasil daripada penyelarasan anggaran perbelanjaan bagi pelbagai projek dan keputusan yang berbeza. Beliau menegaskan ini “bukan isu yang menjejaskan penjagaan pesakit,” dan perkhidmatan kesihatan kekal menjadi keutamaan.

