Poliklinik Tengah dibuka, sedia khidmat penyusuan dan inisiatif masyarakat
Poliklinik Tengah dibuka, sedia khidmat penyusuan dan inisiatif masyarakat
Poliklinik pertama di bawah Poliklinik Universiti Nasional (NUP), program bantu penduduk kekal aktif, sihat
Penduduk Tengah kini boleh mengunjungi poliklinik baru berhampiran kediaman mereka selepas pembukaan rasmi Poliklinik Tengah pada 28 Februari.
Terletak di tiga tingkat dalam pusat kejiranan Parc Point antara Tengah Park Avenue dan Tengah Drive, kemudahan seluas 6,000 meter persegi itu dikendalikan oleh Poliklinik Universiti Nasional (NUP).
Ia merupakan poliklinik pertama di bawah NUP yang memperkenalkan perkhidmatan penyusuan dipertingkat serta institusi pertama dalam rangkaian Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) melancarkan NUHSConnect, inisiatif masyarakat bagi membantu penduduk berusia 40 tahun ke atas kekal sihat, cergas dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.
Poliklinik itu dijangka memberi perkhidmatan kepada lebih 12,000 isi rumah yang telah menerima kunci rumah di bandar baru itu.
Lebih 14,000 flat telah siap dibina setakat ini, hampir separuh daripada sekitar 30,000 yang dirancang, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Disember 2025.
Pada majlis perasmian, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata poliklinik memainkan peranan penting dalam penjagaan, pencegahan dan rawatan asas, memupuk hubungan jangka panjang dengan pesakit serta menyokong penduduk mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Dengan penambahan Poliklinik Tengah, katanya, akan membantu NUP memenuhi keperluan penduduk di barat Singapura.
Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Dr Choo Pei Ling, .
Poliklinik itu mempunyai lebih 100 kakitangan, termasuk doktor keluarga, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu (AHP).
Dengan lebih ramai keluarga muda di Tengah, ia menawarkan khidmat perunding penyusuan bagi membantu ibu menyusu menangani isu rumit seperti lekapan yang tidak betul.
Sebelum ini, perkhidmatan sedemikian lazimnya hanya terdapat di hospital.
Jururawat kanan Cik Nurhanesah A. Rahman berkata sesetengah ibu baru berasa leceh ke hospital bersama bayi, dan mungkin berhenti menyusukan anak.
“Sebab itu kami membawa perkhidmatan ini ke klinik supaya bantuan dapat diberi dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.
Penyusuan susu ibu membantu bayi memperoleh zat berkhasiat dan antibodi penting serta menguatkan sistem imun.
Menjelang akhir 2026, semua lapan poliklinik NUP akan menawarkan perkhidmatan tersebut.
Setiap sesi berharga $58.80 bagi rakyat Singapura dan berlangsung sekitar 40 minit hingga sejam.
Cik Nurulhana Mohmed Ishak, 35 tahun, berasa ragu ketika menyusukan anak bongsunya, Caydrian, selepas sedekad tidak melahirkan anak.
Beliau membatalkan temu janji di hospital kerana terlalu jauh, tetapi mendapat bantuan di Poliklinik Bukit Panjang yang terletak dalam jarak berjalan kaki.
“Saya hanya perlu menolak kereta sorong bayi dan tidak memerlukan bantuan keluarga,” katanya.
Dalam aspek penjagaan pencegahan, NUHSConnect akan menghubungkan penduduk dengan kegiatan seperti senaman regangan, kelas kraftangan dan ceramah kesihatan di kawasan kejiranan.
Dr Beh Chun Yen, ketua Poliklinik Tengah, berkata: “Pembukaan poliklinik ini amat dinantikan masyarakat di sini. Kami berharap ia menjadi hab kesihatan dan kesejahteraan yang dipercayai di Tengah.”
Poliklinik itu turut menampilkan farmasi berbilang tingkat pertama NUP dengan sistem penghantar automatik yang meningkatkan kecekapan.
Bagi Cik Jessica Goh, 35 tahun, penduduk Tengah, yang mengunjungi poliklinik itu bersama keluarga pada hari pembukaan, kemudahan baru ini menjimatkan masa.
“Masih baru dan tidak terlalu ramai orang, jadi kami tidak perlu menunggu lama,” katanya.

