Peralihan pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencerminkan usaha parti itu mencapai keseimbangan dalam melakar pembaharuan berterusan dengan tetap mengekalkan nilai yang didukung sejak sekian lama, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Beliau berkata ia peluang bagi parti itu membentuk pasukan yang menggabungkan muka baru yang menyuntik kesegaran serta individu lebih berpengalaman yang memberikan kestabilan.
Cik Rahayu merujuk kepada pemilihan dan pelantikan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ke-38 PAP semasa bercakap kepada media selepas Persidangan PAP pada 24 November di Singapore Expo.
Beliau, yang juga pengerusi cawangan PAP Bukit Batok East, berkata: “Pemilihan CEC memberi peluang kepada anggota kader memilih pucuk pimpinan parti.
“Ini adalah proses penting kerana ia menyuntik kesegaran (dan) memberikan kami masa untuk memilih calon terbaik.
“Saya gembira melihat adanya keseimbangan – adanya muka-muka baru dan… anggota yang sudah biasa dengan tugasan sedemikian. Ini menunjukkan adanya keseimbangan.
“Ini adalah penting untuk negara kita kerana isu peralihanan daripada satu pucuk pimpinan kepada yang lain adalah sesuatu yang, seberapa yang boleh, di Singapura kita ingin ia dilaksanakan secara aman.”
Untuk mencapai ini, Cik Rahayu menjelaskan ia memerlukan persediaan.
“Ini memerlukan pemimpin kita berfikiran tempoh panjang bagi masa hadapan dan anggota yang boleh diserap masuk ke dalam pasukan kami. Ia bukan sesuatu pilihan yang boleh dilakukan dengan mudah kerana kami perlu memilih individu sesuai – mereka yang betul-betul hati terpahat pada negara dan keprihatinan mereka adalah mengenai masyarakat Singapura.”
CEC bagi penggal 2025-2026 itu setakat ini mempunyai 12 anggota yang dipilih dan dua dilantik, termasuk satu muka baru yang dilantik, iaitu Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Ia boleh melantik lebih ramai anggota apabila ia bermesyuarat, lazimnya beberapa minggu selepas persidangan parti.
Di tengah-tengah cabaran mendapatkan anggota yang sesuai dengan kriteria yang dinyatakan, Cik Rahayu akur mengenai cabaran menambat calon atau individu baru menyertai parti itu, memandangkan ia juga terletak pada kesungguhan individu untuk turut serta.
“Kita boleh lihat bahawa individu yang mencatatkan prestasi hebat dalam pekerjaan dan telah berjaya biasanya mereka lebih selesa (dalam pekerjaan itu) dan sukar untuk menarik mereka ke dalam bidang (politik) kerana ia memerlukan masa, tenaga dan ia mungkin mengubah kehidupan individu tersebut,” ujar Cik Rahayu.
Ini sejajar dengan cabaran yang disebutkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga timbalan etiausaha agung PAP, semasa berucap dalam persidangan itu.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata bukan mudah mendapatkan individu baik untuk menceburi politik, tetapi keutamaannya ialah membentuk pasukan terbaik bagi Singapura.
“Biar saya berterus terang dengan anda semua. Lihat barisan Kabinet sekarang – kita ada 19 menteri, lebih separuh daripada mereka berusia 60 tahun dan ke atas. Tetapi bolehkah saya menunggu hingga mereka bersara sebelum menampilkan muka baru?
“Pastinya tidak. Saya mesti bermula dari sekarang untuk memperbaharui pasukan ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg