Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Rakyat perlu faham pilihan raya seterusnya penting bagi masa depan S’pura

Perlu dekati generasi pengundi baru yang mempunyai jangkaan berubah-ubah; kekalkan sistem pemerintahan cemerlang
Nov 24, 2024 | 6:27 PM
Menteri Kanan yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lee Hsien Loong, berucap dalam Persidangan PAP pada 24 November di Singapore Expo.
Menteri Kanan yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lee Hsien Loong, berucap dalam Persidangan PAP pada 24 November di Singapore Expo. - Foto ZAOBAO

Pemerintah harus mempergiatkan usaha bagi memastikan pengundi faham yang mereka tidak boleh menganggap Pilihan Raya Umum akan datang sebagai satu pilihan raya kecil semata-mata, kata Menteri Kanan yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lee Hsien Loong.

Ini lebih-lebih lagi dalam mendekati golongan segmen pengundi yang ingin melihat lebih ramai anggota pembangkang, tetapi masih mahu PAP untuk memerintah Singapura, menurut beliau semasa berucap kepada lebih 3,000 hadirin semasa Persidangan PAP di Singapore Expo pada 24 November.

Kata Encik Lee, pilihan raya umum seterusnya akan menyaksikan generasi pengundi baru yang memiliki jangkaan berubah-ubah, yang semakin sukar dipenuhi oleh pemerintah sedang ia berdepan dengan tekanan yang meningkat.

Menjelaskan lebih lanjut dalam ucapan terakhirnya sebagai Setiausaha Agung PAP sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada Timbalan Setiausaha Agung semasa, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, beliau berkata:

“Paling sukar untuk ditangani adalah untuk menjangkau segmen pengundi yang sedia maklum bahawa PAP telah mencatatkan prestasi baik dalam memerintah Singapura dan ingin PAP meneruskan pemerintahan, tetapi juga ingin melihat lebih ramai anggota pembangkang dan suara alternatif di Parlimen.

“Apa yang dipertaruhkan kini adalah masa hadapan Singapura. Anda bukan sahaja mengundi siapa yang bakal menjadi Anggota Parlimen (AP) anda.

“Undian anda barangkali juga akan menentukan parti mana yang akan memerintah Singapura.”

Hal sedemikian turut ditekankan beliau dalam Persidangan PAP sebelum ini pada 2022 – beliau menyatakan rakyat tidak boleh menyaksikan parti PAP terus memerintah negara, tetapi masa yang sama, mempunyai lebih ramai AP pembangkang.

Dalam persidangan dwitahunan itu, Encik Lee akur bahawa setelah sekian lama berkuasa, ramai warga Singapura mahu parti PAP terus memerintah negara kerana parti itu telah melakukannya dengan baik dan tiada parti lain yang dapat mentadbir negara dengan lebih baik.

Tetapi beliau memberi amaran bahawa andaian tersebut adalah sesuatu yang silap.

“Sistem Singapura telah mencatatkan prestasi di luar jangkaan, dan ia telah menghasilkan keputusan di luar jangkaan bagi rakyat Singapura.

“Kita harus lakukan sedaya upaya untuk memastikan sistem kita kekal cemerlang,” tambah Encik Lee lagi.

Ini di tengah-tengah pengundi generasi baru yang bakal tampil dalam Pilihan Raya Umum akan datang yang mempunyai jangkaan berbeza terhadap pemerintah, ujarnya.

“Standard tinggi dan pemerintahan baik kini diambil ringan. Ini bukanlah perkara yang tidak bagus.

“Tetapi ia meletakkan tekanan lebih tinggi ke atas pemerintah untuk lakukan lebih banyak, walaupun ianya semakin sukar bagi pemerintah untuk memenuhi jangkaan (rakyat) yang kian meningkat,” ujarnya.

Ini di samping adanya kebimbangan yang berterusan dalam kalangan rakyat terhadap beberapa isu, seperti perumahan dan kos sara hidup, tambahnya dan pihak pemerintah “sedang mengatasi isu-isu ini secara aktif”.

Encik Wong bakal memimpin parti PAP dalam Pilihan Raya Umum seterusnya, yang harus diadakan menjelang November 2025.

“Paling sukar untuk ditangani adalah untuk menjangkau segmen pengundi yang sedia maklum bahawa PAP telah mencatatkan prestasi baik dalam memerintah Singapura dan ingin PAP meneruskan pemerintahan, tetapi juga ingin melihat lebih ramai anggota pembangkang dan suara alternatif di Parlimen. Apa yang dipertaruhkan kini adalah masa hadapan Singapura. Anda bukan sahaja mengundi siapa yang bakal menjadi Anggota Parlimen (AP) anda.”
Menteri Kanan yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lee Hsien Loong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg