Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Terus bekerjasama rapatkan jurang tangani cabaran kos sara hidup

Turut tekankan usaha jangkau golongan kurang bernasib baik perlu diteruskan oleh relawan, pemimpin masyarakat
Jan 4, 2025 | 8:00 PM
(Dari kiri) Encik Lai Yin Meng, 90 tahun, menerima beg berisi barangan keperluan isi rumah daripada Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam,  dan pengarah urusan makanan di DFI Retail Group di Singapura, Encik Yoep Man, di pasar raya Giant di pusat beli-belah IMM Mall pada 4 Januari.
(Dari kiri) Encik Lai Yin Meng, 90 tahun, menerima beg berisi barangan keperluan isi rumah daripada Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan pengarah urusan makanan di DFI Retail Group di Singapura, Encik Yoep Man, di pasar raya Giant di pusat beli-belah IMM Mall pada 4 Januari. - Foto ST

Usaha menjangkau kepada golongan kurang bernasib baik perlu diteruskan oleh relawan dan pemimpin masyarakat sedang pelbagai program dan inisiatif disediakan untuk membantu penduduk menangani cabaran kos sara hidup, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Jurong, berkata sedang warga menantikan lebih banyak bantuan daripada pemerintah, apa yang turut penting adalah untuk orang ramai bekerjasama dan merapatkan jurang yang mungkin wujud dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian kepada media di acara pembukaan semula rasmi pasar raya Giant di pusat beli-belah IMM Mall di Jurong pada 4 Januari.

Majlis itu turut menyediakan jamuan makan malam Tahun Baru Cina bagi 100 tetamu terdiri daripada penduduk Jurong dan ‘wira masyarakat’, seperti pekerja migran dan kakitangan keselamatan.

Acara yang dianjurkan bersama oleh rangkaian pasar raya setempat Giant, CapitaLand Mall dan Persatuan Rakyat (PA) itu diadakan di ruang Garden Plaza di pusat beli-belah IMM Mall.

“Kita menantikan pelbagai sokongan yang boleh membantu orang ramai menangani kebimbangan kos sara hidup, tetapi apa yang penting, saya percaya, kita perlu cuba menggembleng masyarakat.

“Kegiatan seperti acara ini biasanya menjadi kesempatan orang ramai untuk menjadi lebih murah hati. Terdapat banyak perkongsian dan saya gembira melihat pertubuhan berkumpul, memberi habuan kepada orang ramai dalam masyarakat untuk meraikan mereka.

“Saya rasa ini adalah peluang untuk kita terus menggalakkan masyarakat untuk menambah kepada sokongan yang ada, menghasilkan program dan kolaborasi yang berbeza supaya kita boleh bekerjasama untuk cuba merapatkan jurang yang mungkin wujud dalam masyarakat,” kata Cik Rahayu. 

Beliau juga berkata majlis makan malam itu bukan hanya menandakan permulaan sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Jurong, tetapi juga menunjukkan penghargaan kepada wira masyarakatnya.

“Dalam dunia yang semakin berpecah belah, masyarakat berbilang budaya yang harmoni seperti Singapura tidak ternilai. Tanpa mengambil kira kaum, kita meraikan budaya, tradisi dan majlis perayaan bersama-sama.

“Saya gembira melihat yang kita juga mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf sumbangan mereka yang membantu membangunkan negara, menjaga kebersihan dan kehijauannya dan memperbaiki kehidupan kita”, kata Cik Rahayu.

Cawangan di IMM Mall itu adalah pasar raya Giant pertama di Singapura dan dibuka pada 2000.

Pasar raya yang meliputi ruang seluas 54,900 meter persegi di aras satu itu menawarkan penduduk Jurong tempat sehenti yang menyeluruh bagi mendapatkan keperluan gaya hidup, isi rumah dan bahan segar mereka.

Ia kini mempunyai lebih 3,000 produk baru dalam kategori seperti makanan segar, makanan laut dan barangan runcit, beras serta kek dan roti.

Bagi meraikan pembukaan itu, Giant turut memberi Pek Kemakmuran Tahun Baru Cina yang mengandungi barangan keperluan isi rumah kepada 288 penduduk Jurong pertama yang berbelanja di cawangan di IMM Mall itu.

Barangan yang disertakan dalam pek itu termasuk minyak masak, beras dan biskut dan diagihkan oleh Cik Rahayu dan relawan akar umbi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg