Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahmat Mawar sempat luang masa makan dengan keluarga sebelum meninggal

Oct 29, 2024 | 8:17 PM
Encik Hanif Abdul Rahman (dua dari kiri), menantu Allahyarham Rahmat Mawar, menerima salam takziah daripada mereka yang melawat jenazah di Blok 469, Segar Road pada 29 Oktober.
Encik Hanif Abdul Rahman (dua dari kiri), menantu Allahyarham Rahmat Mawar, menerima salam takziah daripada mereka yang melawat jenazah di Blok 469, Segar Road pada 29 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Allahyarham Rahmat Mawar yang juga kapten pasukan Melayu Singapura menjulang Piala Emas Raja-Raja yang dijuarai pada 1973 dan 1975.
Allahyarham Rahmat Mawar yang juga kapten pasukan Melayu Singapura menjulang Piala Emas Raja-Raja yang dijuarai pada 1973 dan 1975. - Foto fail

Seperti biasa, bekas kapten pasukan bola sepak Melayu Singapura, Rahmat Mawar, akan makan malam bersama keluarganya di ruang makan rumah beliau di Blok 469, Segar Road di Bukit Panjang.

Namun, tidak terlintas dalam benak anak sulungnya, Cik Suraya Rahmat, bahawa jamuan malam pada 28 Oktober adalah yang terakhir dinikmati bersama bapanya.

Ini selepas Rahmat, yang menjulang Piala Emas Raja-Raja bagi pasukan Melayu Singapura, mengalami sesak nafas sejurus selepas itu dan dikejarkan ke Woodlands Health Campus.

Beliau meninggal dunia akibat radang paru-paru sekitar 12.30 tengah malam pada 29 Oktober.

Rahmat, 81 tahun, meninggalkan tiga anak perempuan dan 11 cucu. Isterinya telah meninggal dunia pada 2013.

Menyingkap saat-saat terakhir itu, Cik Suraya, 52 tahun, yang tinggal di blok yang sama dengan bapanya, berkata:

“Pada mulanya, arwah bapa saya enggan ke hospital dan mahu dirawat di rumah dan makan ubat-ubat yang tersedia sahaja.

“Namun, saya melihat beliau mengalami sesak nafas dan dalam kesakitan ketika itu. Sekitar 9 malam, adik saya kemudian menyemak paras oksigen beliau menerusi oksimeter nadi dan mendapati tiada bacaan di alat tersebut dan tangannya terasa sejuk.

“Saya pun tanya kalau ‘Mama’ (gelaran yang diberikan anak kepada Allahyarham) nak pergi ke hospital, dan beliau mengangguk.

“Kami menelefon ambulans dan mereka tiba pada 10.15 malam,” ujar Cik Suraya.

Bapanya dimasukkan ke hospital sekitar dua minggu lalu dek gejala yang sama tetapi tidak mengalami keadaan yang teruk ketika itu.

Untuk memudahkan pernafasan, Allahyarham menggunakan mesin pernafasan mudah alih dan menggunakan tiub oksigen yang dimasukkan ke hidung sejak 2022.

Apabila Berita Harian (BH) tiba di rumah Allahyarham, sekitar 10.30 pagi, kelihatan ramai ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir.

Antara yang tiba termasuk bekas kapten bola sepak negara, Samad Allapitchay, 74 tahun; dan bekas penjaga gawang negara, Bashir Khan, 55 tahun.

Samad, yang juga bekas pemain pertahanan tengah, berkata beliau kagum dengan Allahyarham yang merupakan seorang pemain yang berkesan di padang meskipun tidak begitu tinggi.

“Beliau akan mengasak lawan dengan keras dan mengejar mereka dengan penuh semangat untuk merampas bola dari mereka,” kata Samad, yang pernah beraksi di padang bersama Allahyarham selama sekitar tujuh tahun.

“Gaya permainan yang berani mencerminkan komitmennya untuk sentiasa memberikan 100 peratus di padang.”

Bashir pula berkata Allahyarham seorang yang peramah dan suka membantu.

“Semasa saya bertugas di Imperial Hotel, kami mempunyai pasukan bola sepak dan menyertai dalam pertandingan liga antara hotel.

“Beliau, yang bertugas sebagai jurulatih bola sepak pasukan kami, sentiasa terbuka untuk memberi nasihat kepada pemain dalam memperbaiki prestasi permainan kami,” kata Bashir.

Terdahulu, Rahmat mengetuai pasukan Melayu Singapura menjulang Piala Emas Raja-Raja mengalahkan Kelantan 4-1 pada 1973, dan Pulau Pinang 3-2 pada 1975.

Allahyarham Rahmat selamat dikebumikan di tanah perkuburan Pusara Aman pada petang 29 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg