Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raikan Hari Kebangsaan, syukuri kemerdekaan

Aug 11, 2024 | 5:30 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

Dirgahayu Singapura yang meraikan ulang tahunnya yang ke-59 pada 9 Ogos setelah mencapai kemerdekaan pada 9 Ogos 1965.

Satu acara gah, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), telah diadakan di Padang – tempat acara NDP pertama diadakan pada 1966 dan beberapa NDP pada tahun-tahun awal kemerdekaan.

Antara detik menarik NDP 2024 ialah kehadiran buat julung kali Presiden Tharman Shanmugaratnam setelah beliau menyandang jawatan itu pada 14 September 2023, selepas memenangi pilihan raya presiden, menggantikan Presiden Halimah Yacob.

Begitu juga, kali ini merupakan kehadiran pertama Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri negara ini, selepas dilantik bagi jawatan tersebut pada 15 Mei, menggantikan Encik Lee Hsien Loong yang kini menyandang jawatan Menteri Kanan.

Walaupun acara NDP ini diadakan secara tahunan dan ada yang menyifatkannya sebagai acara tahunan biasa, ia sebenarnya penting dirai sebagai memperingati hari kemerdekaan Singapura yang bukan mudah dicapai.

Ia juga menunjukkan betapa pentingnya menjadi sebuah negara yang tidak dijajah serta tidak di bawah telunjuk mana-mana kuasa besar.

Justeru, sistem pertahanan negara yang kuat dibangunkan demi mempertahankan negara ini daripada sebarang ancaman.

Singapura menekankan enam tonggak di bawah Pertahanan Mutlaknya – Ketenteraan, Sivil, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi.

Semasa permulaan awal kemerdekaannya, tidak ramai menjangka negara pulau kecil ini mampu bertahan, memandangkan negara ini ketandusan bahan sumber asli, tanah terbatas untuk dibangunkan dan rakyatnya yang rata-rata tidak berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Yang ada hanyalah barisan pemimpin dan penduduk yang bersemangat dan beriltizam tinggi, yang bersedia bekerja keras untuk memastikan negara yang dikelilingi negara lebih besar ini bukan sahaja dapat bertakat, malah dapat menarik pelaburan asing dan menjadikan negara ini bak besi berani bagi kegiatan ekonomi yang lebih moden.

Hasil usaha tidak kenal penat di samping sentiasa membangunkan pendidikan dan kemahiran rakyat negara ini, Singapura secara berperingkat membangun dari sebuah negara dunia ketiga menjadi negara dunia pertama yang maju dan makmur yang kini mencapai usia 59 tahun.

Kini, Singapura dikagumi banyak negara dunia lain bukan sahaja kerana kemakmuran ekonominya, bahkan kemakmuran sosialnya, yang mahu dicontohi banyak negara.

Banyak delegasi negara luar mengadakan lawatan ke sini untuk mempelajari sistem ekonomi dan sosial yang membantu negara ini mencapai kemajuan yang mahu dicontohi.

Antara contoh termasuklah kerjasama erat tiga pihak – pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja – yang penuh muhibah dan menjadi kekaguman banyak negara lain.

NDP yang diraikan pada 2024 dan juga pada setiap 9 Ogos, harus dijadikan peringatan kepada kita bahawa kemerdekaan itu wajar dirai dan disyukuri serta dipelihara, sesuatu yang bukan mudah dicapai dan merupakan hasil jerih payah generasi masa lalu – generasi perintis dan generasi merdeka negara ini – dengan generasi lebih muda kini menikmati Singapura yang maju, makmur dan merdeka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg