Julukan ‘Raja Bedok’ berkait rapat dengan nama Allahyarham Kahar Abdul Ghani.

Apa tidaknya? Arwah pernah memiliki tanah paling luas di sekitar kawasan Bedok setelah menjadi saudagar dagangan ‘barter’, iaitu perdagangan dengan cara tukar-menukar barangan.

Pada waktu itu, beliau juga pengedar Melayu tempatan pertama mengedar piring hitam gramofon syarikat, His Master’s Voice (HMV), sekitar 1900-an.

Berdasarkan laporan Berita Harian (BH) pada November 1981, terdapat rancangan untuk menukar nama Jalan Haji Salam – kini terletak berdekatan Pusat Makanan Bedok – kepada nama beliau, jelas anaknya, Allahyarham Abdul Hai Kahar, ketika itu.

Dalam laporan tersebut, Allahyarham Abdul Hai berkata ayahnya menolak tawaran menamakan semula jalan itu atas dasar menghormati ketokohan Haji Salam Haji Sulaiman, yang datang ke Singapura pada 1835, dan membuka kampung di situ.

Allahyarham Abdul Hai berkata ayahnya membeli 30 ekar tanah – bersamaan 17 hingga 19 padang bola sepak – di Bedok pada 1900-an untuk dijadikan ladang kelapa dan buah pala serta membina Villa Haji Kahar di 1 Bedok Avenue.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) baru-baru ini mencadangkan agar vila dua tingkat itu dipulihara atas kepentingan sejarah dan sosial.

Menurut kertas cadangan terbitan URA pada 5 Jun, langkah itu diambil bagi melindungi salah satu penanda terakhir Kampung Bedok lama yang masih wujud, selepas agensi itu menerima satu permohonan pembangunan.

Banglo itu terletak di atas tapak pegangan bebas 5,963.2 meter persegi milik HR Property Development, yang dimiliki sepenuhnya oleh Hong Realty di bawah Kumpulan Hong Leong.

Jika dipulihara, sebahagian besar tapak itu masih boleh dibangunkan sebagai projek kediaman strata berhalaman.

Allahyarham Abdul Hai berkata ayahnya berhijrah dari Palembang, Sumatera, Indonesia, ke Singapura pada 1883 untuk mencari peluang lebih baik ketika berusia 20 tahun dan memulakan kehidupan di sini sebagai pengutip sampah.

Setibanya di Singapura, beliau berkata ayahnya menetap di sebuah rumah di Nombor 900/902 North Bridge Road, lalu membuka kedai sendiri di satu sudut antara Arab Street dengan Muscat Street, dengan mengedar piring hitam gramofon syarikat HMV, sebelum meluaskan perniagaan di luar Singapura.

Ayahnya melibatkan diri dalam perdagangan dari peringkat bawah dan mengambil masa sekitar 20 tahun untuk membangunkan perniagaannya, ujar beliau.

Beliau menambah, tanah seluas 30 ekar itu, berserta sebuah rumah kecil, dibeli ayahnya daripada peladang Cina dengan harga $7,000.

Allahyarham ayahnya mempunyai dua isteri – seorang di Palembang dan seorang lagi di Singapura, dan 16 anak secara keseluruhan merangkumi kededua perkahwinan.

Waris generasi kelima Allahyarham Kahar, Encik Jamal Iskandar Ismail, berkata buyutnya dikenali penduduk setempat sebagai seorang yang dermawan.

Dalam laporan BH pada Ogos 2021, Encik Jamal berkata, Villa Haji Kahar dipercayai telah berpindah tangan semasa pendudukan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Pada usia 50 tahun, Allahyarham Kahar, menyumbang tenaga untuk mengajar Al-Quran di sebuah masjid, yang kini dikenali sebagai Masjid Al-Taqua di Jalan Bilal, ujar Encik Jamal.

Allahyarham Kahar meninggal dunia pada September 1940 pada usia 78 tahun.