Rakyat S’pura di Abu Dhabi, Dubai dihantar ke Oman sebelum terbang pulang
Rakyat S’pura di Abu Dhabi, Dubai dihantar ke Oman sebelum terbang pulang
Dua kumpulan rakyat Singapura telah dihantar dari Abu Dhabi dan Dubai ke Muscat, Oman, pada awal pagi 6 Mac, menurut Kedutaan Singapura di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai.
Pihak Kedutaan/Konsulat tersebut berkongsi dalam satu hantaran di Facebook pada 6 Mac kededua kumpulan rakyat Singapura itu akan berlepas menaiki penerbangan bantuan dari Muscat pada 7 Mac.
“Mereka diiringi oleh pegawai Kedutaan/Konsulat Singapura dalam perjalanan menaiki bas bagi fasa pertama perjalanan tersebut.
“Di Oman, mereka akan dibantu oleh Kedutaan Singapura di Muscat, Oman serta Pasukan Tindakan Krisis Kementerian Ehwal Luar (MFA) sehingga waktu pelepasan mereka melalui penerbangan sewa khas esok,” menurut hantaran Facebook yang sama.
Duta Singapura ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Kamal R. Vaswani, dan Konsulat Jeneral Singapura di Dubai, Encik Raziff Aljunied, dikatakan sempat berbicara ringkas dengan rakyat Singapura di Abu Dhabi dan Dubai sebelum keberangkatan.
“Kebanyakan daripada mereka telah mengharungi minggu yang mencabar dalam usaha mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air.
“Kami bersyukur kerana mereka kini dapat pulang ke rumah dan mendoakan agar mereka selamat dalam penerbangan serta dipermudahkan perjalanan yang akan datang,” kata Kedutaan/Konsulat itu.
Laporan berita menyatakan sejak serangan awal Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, ruang udara bagi kebanyakan negara di Timur Tengah telah ditutup.
Pada 5 Mac, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, berkata MFA sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan di rantau Timur Tengah untuk meneroka kemungkinan penerbangan pemindahan untuk membawa pulang rakyat Singapura.
Cik Gan menambah MFA akan mengatur perjalanan melalui darat untuk beberapa hari seterusnya, bagi warga Singapura di Bahrain dan Qatar untuk ke Riyadh, Arab Saudi – salah satu negara dengan ruang udara yang masih dibuka seperti biasa.
Langkah itu diambil memandangkan terdapat permintaan kukuh daripada warga Singapura di Timur Tengah yang berdaftar dengan MFA bagi bantuan untuk pulang ke Singapura.
Sebahagian besar atau lebih kurang 60 peratus warga Singapura yang berdaftar dengan MFA di Timur Tengah berada di Oman dan UAE, jelas Cik Gan.

