Rakyat S’pura di Mexico dinasihat elak lawat tempat risiko tinggi
Rakyat S’pura di Mexico dinasihat elak lawat tempat risiko tinggi
Rakyat Singapura yang kini berada di Mexico dinasihatkan supaya berwaspada, sentiasa berjaga-jaga dan mengelakkan perjalanan ke tempat berisiko tinggi susulan kejadian baru-baru ini di negara itu.
Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu nasihat perjalanan pada 24 Februari.
Nasihat itu dikeluarkan susulan keganasan meluas selepas ketua kartel paling dikehendaki di negara tersebut, Nemesio Oseguera, terbunuh dalam satu serbuan tentera pada 22 Februari.
MFA memaklumkan berikutan kejadian keselamatan yang dilaporkan di beberapa negeri Mexico seperti Jalisco, Tamaulipas, Michoacán, Guerrero dan Nuevo León, rakyat Singapura di sana “dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga”.
Mereka juga perlu memantau berita tempatan serta mematuhi nasihat pihak berkuasa setempat, ujar MFA, sambil menambah orang ramai harus mengelakkan kawasan sesak, tunjuk perasaan dan perhimpunan.
MFA turut menggesa rakyat Singapura di Mexico supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu, memahami undang-undang tempatan dan membeli insurans perjalanan serta perubatan yang menyeluruh.
Mereka amat digalakkan untuk mendaftar dalam talian dengan MFA di eregister.mfa.gov.sg.
Sesiapa yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Kehormat Republik Singapura di Mexico City atau pejabat bertugas MFA yang beroperasi 24 jam di talian +65-6379-8800 atau +65-6379-8855.
Oseguera, yang lebih dikenali sebagai ‘El Mencho’, terbunuh dalam serbuan tentera pada 22 Februari, dengan pasukan petugas baru yang diketuai tentera Amerika Syarikat turut memainkan peranan dalam operasi tersebut.
Selepas berita kematiannya tersebar, anggota kartel menyekat lebuh raya, membakar kenderaan dan premis perniagaan di lebih 12 negeri.
Setakat 25 Februari, tiada kematian orang awam dilaporkan, lapor agensi berita, Reuters.

