JOHOR BAHRU: Selepas menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada 3 Mei, ramai warga Singapura tanpa lengah terus mengambil peluang untuk menuju ke Johor Bahru bagi menikmati percutian singkat.
Bagi kebanyakan mereka, aktiviti membeli-belah menjadi keutamaan.
Tinjauan di sebuah pusat beli-belah berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar menunjukkan aliran berterusan ketibaan warga Singapura – ada yang lengkap membawa bagasi, manakala yang lain sarat mengangkut beg membeli-belah.
Kesesakan lalu lintas jelas kelihatan di jalan-jalan utama sekitar bandar itu, lapor The Star.
“Ia keputusan spontan untuk buat lawatan sehari ke Johor Bahru,” kata juruteknik kanan, Encik Mohd Shahri Seradeen, 49 tahun, yang berkunjung ke Johor bersama isteri dan anaknya selepas mengundi pada sebelah pagi.
Encik Mohd Shahri, yang ditemui di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, berkata beliau telah pergi ke pusat mengundi sekitar 8.30 pagi.
“Saya jangka akan ada barisan panjang kerana kebanyakan orang lebih suka mengundi pada waktu pagi. Tapi, hairannya, tiada ramai orang dan proses mengundi sangat lancar dan cepat. Kami selesai dalam beberapa minit sahaja,” katanya.
Justeru, keluarganya secara spontan memutuskan untuk memasuki Johor.
Beliau berkata ketika beliau sekeluarga menyeberangi sempadan sekitar tengah hari, trafik menuju ke Johor lebih sesak daripada biasa.
“Kami bercadang untuk menaiki bas pulang ke Singapura pada sebelah petang atau malam. Jadi, besar kemungkinan kami akan tiba di rumah menjelang pengumuman keputusan pilihan raya,” katanya.
Graduan baru, Encik Michael Neo, 25 tahun, pula berkata beliau mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membuat perjalanan singkat ke Johor selepas selesai mengundi.
“Ramai rakan saya diberikan cuti tambahan pada Isnin. Jadi, kami ambil keputusan untuk bercuti singkat di Johor Bahru selepas mengundi,” katanya.
Proses mengundi yang lancar membolehkan beliau meneruskan rancangan untuk bercuti di Johor, tambahnya.
“Saya kerap ke Johor Bahru kerana bapa saudara saya ada rumah percutian di sini. Kami biasanya datang untuk ‘cafe-hopping’ (berkunjung ke kafe-kafe berlainan), gunting rambut dan (mendapatkan khidmat) urut,” jelasnya sambil menambah bahawa beliau memang gemar berkunjung ke Johor. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg