Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakyat S’pura memerlukan terima bantuan rekod $175j MediFund sepanjang tahun kewangan lalu
Rakyat S’pura memerlukan terima bantuan rekod $175j MediFund sepanjang tahun kewangan lalu
Rakyat S’pura memerlukan terima bantuan rekod $175j MediFund sepanjang tahun kewangan lalu
Sebanyak $175.1 juta daripada Dana Endowmen Perubatan (MediFund) telah diagihkan bagi membantu rakyat Singapura yang memerlukan untuk melunaskan bil perubatan mereka pada tahun kewangan lalu yang berakhir pada 31 Mac 2026.
Ini merupakan jumlah bantuan MediFund tertinggi yang pernah diberikan dalam satu tahun kewangan setakat ini.
Ia mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak $10 juta, atau 6.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
MediFund, yang diperkenalkan pada 1 April 1993, membantu pesakit warga Singapura yang memerlukan dan tidak mampu membayar bil perubatan mereka selepas menerima subsidi pemerintah.
Selain itu, menggunakan kaedah pembayaran lain, termasuk insurans nasional MediShield Life, dan mengeluarkan simpanan MediSave mereka.
Peningkatan bantuan MediFund itu berlaku sejajar dengan penambahan jumlah permohonan yang diluluskan sebanyak 3.8%, menjadikan keseluruhannya lebih daripada 1.14 juta permohonan pada tahun kewangan lalu.
Jumlah bantuan yang disediakan kepada pesakit di kedua-dua institusi penjagaan kesihatan awam (PHI) serta kemudahan penjagaan jangka pertengahan dan panjang (ILTC) turut meningkat.
Jumlah keseluruhan yang disalurkan kepada pesakit di PHI, seperti hospital awam dan poliklinik, adalah sebanyak $125.6 juta – meningkat sebanyak $6.6 juta (5.5 peratus) berbanding tahun sebelumnya.
Terdapat lonjakan yang lebih besar iaitu sebanyak 7.5 peratus bagi bantuan yang diberikan kepada pesakit di kemudahan ILTC, seperti hospital masyarakat dan rumah jagaan. Ia berjumlah $49.5 juta pada tahun kewangan lalu.
“Dengan MediFund, tiada rakyat Singapura yang akan dinafikan akses kepada penjagaan bersubsidi yang sewajarnya akibat ketidakmampuan untuk membayar,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam pengumumannya pada 27 November.
MOH turut berkata bahawa mulai tahun kewangan akan datang, statistik dalam laporan tahunan akan diselaraskan, di mana statistik bagi MediFund Silver tidak lagi akan dilaporkan secara berasingan.
MediFund Silver telah ditubuhkan pada November 2007 sebagai peruntukan khas di bawah skim MediFund bagi pesakit warga Singapura yang memerlukan dan berusia 65 tahun dan ke atas.
Keperluan pengasingan dana tersebut telah dimansuhkan, dan keperluan pelaporan boleh diselaraskan mulai tahun kewangan akan datang, kata MOH.
Kementerian itu menambah bahawa itu hanyalah perubahan pentadbiran semata-mata yang “tidak akan menjejaskan bantuan yang disediakan kepada pesakit yang layak, tanpa mengira usia.”
Laporan tahunan itu turut menyenaraikan ahli majlis penasihat MediFund ke-12 yang dilantik pada 1 April bagi penggal tiga tahun. Ia terus dipengerusikan oleh mantan ketua eksekutif Sheares Healthcare Group, Encik Thali Koattiath Udairam.