Pilihan dan keyakinan adalah faktor penting dalam membina rasa kekitaan dan masa depan yang kukuh di Singapura, dengan rakyat mesti yakin bahawa mereka boleh bergantung antara satu sama lain untuk maju ke hadapan bersama, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Rakyat Singapura mesti percaya bahawa mereka boleh bekerjasama dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, serta bagi negara ini melakarkan hala tujunya ke hadapan, meskipun jika “anda tidak boleh mengubah dunia”.
Generasi rakyat Singapura hari ini merupakan ‘benefisiari’ kepada sebuah Singapura yang makmur dan maju hasil titik peluh generasi terdahulu – yang memilih untuk berjuang dan berusaha gigih membina negara bersama, tidak kira kaum dan agama – dan pilihan sama ada untuk meneruskan kisah kejayaan negara itu terletak di tangan generasi semasa, tambah Encik Lee.
“Pilihannya adalah adakah saya meneruskan misi yang diserahkan kepada kita dan terus menjadikan tempat ini lebih baik, atau adakah saya mengatakan, ‘terima kasih, anda telah berikan saya sayap, saya akan tinggalkan tempat ini… dan saya harap semuanya okey’?. Ini adalah satu pilihan.
“Akan ada individu yang tebarkan sayap ke luar negara, dan ia satu pilihan munasabah, dan kita berharap mereka akan kembali satu hari nanti.
“Tetapi, kita juga berharap akan terdapat ramai yang mengatakan bahawa… ‘saya mewarisi negara ini dan saya ada bertanggungjawab untuk menyerahkan negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya,” kata beliau.
Encik Lee berkata demikian semasa Forum Menteri Kent Ridge (KRMF) yang diadakan di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 9 September.
Forum anjuran Persatuan Politik Pelajar NUS (NUSPA) itu turut disertai moderator, Profesor Madya Leong Ching, Naib Provos (Kehidupan Pelajar), NUS, dan Pemangku Dekan, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.
Sebuah acara tahunan, forum itu memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan ahli akademik berdialog dengan pemimpin politik kanan terkemuka di Singapura mengenai isu-isu negara.
Identiti negara dalam kalangan rakyat Singapura telah menjadi lebih kukuh saban tahun, namun Encik Lee berkata bahawa warga negara ini mempunyai pelbagai “lapisan identiti yang berbeza”, termasuk agama, kaum dan bahasa – yang mungkin aspek lebih penting kepada identiti mereka berbanding kewarganegaraan.
Bahkan, satu kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan bahawa hanya sekitar sepertiga rakyat Singapura yang ditinjau, atau 35.9 peratus, memilih kewarganegaraan sebagai bahagian penting kepada identiti mereka, diikuti dengan bangsa (20.6 peratus) dan agama (16.1 peratus).
Ini sesuatu yang harus diterima, dan bahagian seperti kaum serta agama harus dikekalkan, kata Encik Lee, kerana selain menjadi bahagian identiti yang membentuk keunikan rakyat Singapura, ia juga menghubungkan warga negara ini dengan negara dan rantau asal usul moyang mereka.
“Kita mahu kekalkan bahagian itu dalam identiti kita kerana ia adalah penting kepada kita. Ia memberi kita rasa sejarah.
“Kita tidak tiba-tiba muncul pada 1965 mahupun 1950 atau 1945. Kita datang daripada tamadun purba, kepercayaan lama, dan ia adalah sebahagian daripada kita,” kata beliau.
Meski terdapat perbezaan kaum, agama dan bahasa, Encik Lee bagaimanapun menekankan bahawa terdapat pengalaman bersama yang menyatukan rakyat Singapura.
“Kita membesar di sini. Sahabat kita, keluarga kita berada di sini. Kita membuat sumbangan di sini. Tempat ini adalah rumah kita, dan tempat ini mempunyai kepentingannya sendiri.
“Kita bukan negara Cina, India mahupun Melayu. Kita sebuah negara rakyat Singapura dan ini adalah asas untuk kita,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg